Murid 11 tahun konon dibawa lelaki, rupanya bersembunyi dalam tandas

6 Oct 2026 • 2:21 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

terkini

KULIM: Dakwaan seorang murid perempuan berusia 11 tahun keluar dari kawasan sekolah bersama seorang lelaki dengan menaiki motosikal yang mencetuskan kebimbangan di sebuah sekolah, di sini didapati tidak benar.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, siasatan mendapati murid itu sebenarnya tidak pernah keluar dari kawasan sekolah, sebaliknya bersembunyi di dalam tandas selepas berlaku perselisihan dengan rakannya.

Menurutnya, polis menerima laporan daripada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) sekolah berkenaan selepas menerima maklumat daripada dua murid perempuan mengenai kejadian itu.

“Siasatan mendapati murid berkenaan hadir ke sekolah seperti biasa pada pukul 7.20 pagi selepas dihantar kakaknya dan mengikuti perhimpunan sekolah kira-kira pukul 8 pagi.

“Semasa perhimpunan, murid berkenaan dipercayai bermain dengan sanggul rakannya sebelum rakannya menarik tudungnya sehingga anak tudung tercabut,” katanya di sini, hari ini.

Syamsul berkata, murid terbabit kemudian pergi ke tandas untuk membetulkan tudung sebelum bersembunyi di dalam tandas dan tidak masuk ke kelas.

Katanya, ketika murid itu tidak berada di dalam kelas, seorang rakannya memaklumkan kepada PK HEM bahawa dia telah keluar dari kawasan sekolah bersama seorang lelaki dengan menaiki motosikal.

“Bagaimanapun, hasil rakaman percakapan mendapati rakannya telah mengaku mereka cerita itu kerana sakit hati terhadap murid terbabit.

“Seorang lagi murid yang mengetahui cerita berkenaan tidak benar turut bersekongkol mengakuinya,” katanya.

Beliau berkata, siasatan seterusnya mengesahkan murid berusia 11 tahun itu tidak pernah keluar dari kawasan sekolah dan maklumat mengenai dia dibawa seorang lelaki menaiki motosikal juga tidak benar. – UTUSAN

The post Murid 11 tahun konon dibawa lelaki, rupanya bersembunyi dalam tandas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved