
KECOH sekejap dunia media sosial baru-baru ini apabila pelakon dan penyanyi, Didi Astillah menjadi sebutan netizen gara-gara sebuah video gurauan atau birthday prank.
Insiden yang memaparkan situasi tegang dan kekecohan dengan seorang pelayan restoran ketika sambutan hari lahir ibunya, Siti Zarina Roslan itu nyata mengundang pelbagai reaksi kurang senang orang ramai.
Menyedari perkara tersebut mula menjadi perdebatan, pemilik nama sebenar Dayang Nazilah Awang Astillah yang berusia 30 tahun itu tidak melengahkan masa untuk tampil menjernihkan keadaan.
Menurut tunangan kepada Diniey Ng ini, suasana kecoh yang tular itu sebenarnya dirakam di dalam sebuah bilik persendirian yang ditempah khas demi keselesaan mereka sekeluarga.
Aduan atau dakwaan kononnya aksi mereka mengganggu orang lain adalah tidak benar sama sekali kerana tiada pelanggan luar yang berada di kawasan tersebut.
Tambahnya lagi, video itu pada asalnya hanya disimpan untuk kenangan peribadi sebelum ia tidak sengaja dimuat naik oleh salah seorang ahli keluarga mereka.

Pembawaan usikan kreatif seperti itu sebenarnya bukanlah perkara asing buat adik kepada Bella Astillah ini.
Jelas Didi menerusi hantaran di laman instagram miliknya, dia sendiri pernah melakukan taktik kejutan yang serupa sebelum ini namun mungkin ia tidak begitu mendapat perhatian meluas daripada netizen seperti kali ini.
"Saya hormati dan faham semua orang ada pandangan masing-masing. kepada mereka yang tidak tahu, ini bukanlah perkara yang baharu atau pertama kali saya buat.
"Mungkin pengikut saya yang dah lama mengikuti saya mesti pernah nampak saya buat macam ini. saya pernah post dulu tetapi mungkin ketika itu kurang dapat perhatian sebab itu tak pernah dipersoalkan," katanya.

Memohon maaf
Dalam pada itu, Didi dengan rendah hati tetap menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya perkongsian tersebut telah membuatkan mana-mana pihak berasa kurang selesa.
Baginya, apa yang berlaku mempunyai penjelasan yang tersendiri dan dia berharap agar orang ramai tidak terus memanjangkan isu berkenaan.
"Apa pun, saya minta maaf kalau ada pihak yang kurang senang. untuk pengetahuan kami dah tempah tempat itu dan ia dalam bilik tertutup (private room).
"Ada team member yang termuat naik tanpa sengaja tanpa tanya kami terlebih dahulu dan mereka pun sudah memohon maaf.
"Jadi, marilah semua move on dan jalani kehidupan kita," jelasnya lagi dengan nada santai.

Bukan itu sahaja, kehadiran Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam majlis tersebut turut mencuri tumpuan sehingga membuatkan netizen bimbang akan imej bakal abang iparnya itu.
Bagaimanapun, Didi sempat berseloroh dan meminta orang ramai agar bertenang serta tidak perlu berasa risau dengan situasi yang berlaku.
"Abang Saddiq okay sahaja. Kan abang? Tenang sahaja ya kalian," bicaranya lagi bagi meredakan kerisauan para peminat.






