Kedah cadang tuntut RM300 juta sebagai bayaran pajakan Pulau Pinang

LocalPolitics
29 Jul 2026 • 2:51 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kedah cadang tuntut RM300 juta sebagai bayaran pajakan Pulau Pinang Image from: Kedah cadang tuntut RM300 juta sebagai bayaran pajakan Pulau Pinang hamden29/07/2026 - 14:51 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Julai - Kerajaan Negeri Kedah sudah menyediakan dokumen bagi menuntut semakan bayaran pajakan Pulau Pinang dengan sasaran bayaran RM300 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan.

 

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri mempunyai asas yang kukuh untuk membawa perkara itu ke peringkat seterusnya.

 

Beliau berkata, beberapa pilihan sedang dipertimbangkan termasuk membawa perkara tersebut ke mahkamah, merujuknya kepada Majlis Raja-Raja atau mengadakan rundingan rasmi bersama Putrajaya.

 

 

 

 

 

 

"Semua dokumen telah disediakan tetapi kita tidak boleh mendedahkannya lagi. Kita mempunyai asas yang kukuh untuk membawa perkara ini ke peringkat seterusnya," katanya ketika muncul dalam podcast secara langsung menerusi Kedah Online pada Selasa.

 

Menurut Sanusi, kerajaan negeri masih menunggu keadaan yang lebih sesuai sebelum mengambil tindakan lanjut kerana bimbang hasil kajian tersebut akan ditolak oleh Kerajaan Persekutuan bagi mempertahankan kedudukan Pulau Pinang dalam Persekutuan.

 

Beliau berkata, hasil kajian oleh penyelidik negeri serta penasihat undang-undang telah mendapat kelulusan penuh daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).

 

Bukan "Wang Percuma" Tetapi Tuntut Hak

Sanusi menegaskan tuntutan tersebut bukan bertujuan mendapatkan "wang percuma", sebaliknya merupakan hak yang sah berdasarkan Perkara 167 Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan kewajipan sebelum kemerdekaan.

 

Bayaran tahunan berkaitan Pulau Pinang sebelum ini bermula pada kadar RM10,000 sebelum dinaikkan kepada RM10 juta ketika pentadbiran Pakatan Harapan di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Namun, jumlah tersebut tidak pernah disemak semula walaupun hampir 70 tahun selepas kemerdekaan.

 

"Sebelum ini, Menteri Besar dan Perdana Menteri datang daripada parti yang sama, jadi mungkin mereka takut kehilangan kedudukan jika bersuara. Saya daripada parti berbeza, jadi saya boleh bercakap bagi pihak negeri saya," katanya.

 

Sanusi turut mendakwa kajian terhadap rekod sejarah berusia kira-kira 200 tahun menunjukkan British tidak mempunyai hak pemilikan yang sah terhadap Pulau Pinang sebelum pemindahan kuasa berlaku.

 

 

 

 

 

"British tidak memiliki Pulau Pinang. Bagaimana pihak yang tidak mempunyai hak pemilikan boleh menyerahkannya kepada pihak lain sehingga ia menjadi sebuah negeri seperti hari ini? Jika benar ia adalah pajakan, maka bayarlah harga yang sewajarnya," katanya.

 

Beliau berkata cadangan bayaran RM300 juta setahun itu bukan perkara baharu kerana pernah dibangkitkan kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika pentadbiran Perikatan Nasional. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved