Nicky Liow dapat DNAA bagi 26 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM36 juta - Peguam

LocalPolitics
29 Jul 2026 • 6:17 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Nicky Liow dapat DNAA bagi 26 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM36 juta - Peguam Image from: Nicky Liow dapat DNAA bagi 26 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM36 juta - Peguam hamden29/07/2026 - 18:17

KUALA LUMPUR 29 Julai - Ahli perniagaan Nicky Liow Soon Hee diberikan pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA) bagi 26 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah melebihi RM36 juta selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk menarik balik kes tersebut.

 

Peguam Liow, Datuk Rajpal Singh berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan selepas anak guamnya menyelesaikan tunggakan cukai berjumlah RM400,000 dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), lapor NST.

 

Keputusan DNAA itu bermaksud tertuduh dilepaskan daripada pertuduhan tanpa sabitan atau pembebasan penuh, namun pihak pendakwaan masih mempunyai hak untuk mengemukakan semula pertuduhan sekiranya terdapat bukti baharu atau perubahan keadaan pada masa hadapan.

 

Menurut kertas pertuduhan, Liow yang merupakan seorang pengarah syarikat didakwa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram serta memiliki wang yang dipercayai merupakan hasil daripada aktiviti tidak sah.

 

Beliau didakwa melakukan kesalahan tersebut di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang antara 2016 hingga 2021.

 

Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

 

Kesalahan di bawah AMLATFPUAA itu membawa hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun serta denda sekurang-kurangnya lima kali ganda jumlah wang yang diperoleh daripada aktiviti pengubahan wang haram atau RM5 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

 

Liow baru-baru ini menjadi perhatian selepas sekeping gambar beliau memakai baju PKR bersama Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tular di media sosial, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai status kes mahkamah yang dihadapinya.

 

Pada 26 Julai, Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh menafikan bahawa Liow merupakan ahli parti itu, sambil berkata tiada rekod menunjukkan beliau pernah mengemukakan permohonan untuk menjadi ahli PKR.

 

Liow kemudian menjelaskan dalam satu sidang media bahawa baju Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang dipakainya dibeli semasa program amal dan tidak menunjukkan sebarang hubungan atau penglibatan dengan parti berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved