
ALOR SETAR: Kerajaan negeri memperhebat promosi Pulau Tuba dengan menyasarkan setiap pelancong yang berkunjung ke Langkawi untuk turut meneroka destinasi yang kaya dengan keindahan alam semula jadi di situ.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd. Salleh Saidin berkata, usaha itu akan dilaksanakan melalui kerjasama dengan pemain industri pelancongan di Langkawi.
“Saya yakin Pulau Tuba akan mendapat perhatian dalam kalangan pelancong. Apabila media mula mengetengahkan cerita mengenai Pulau Tuba, ditambah usaha promosi yang dilakukan bersama-sama, saya percaya ia akan mendapat maklum balas positif,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Edutourism Kedah, di sini hari ini.
Katanya, penganjuran pemukiman pengamal media Kedah ke pulau tersebut baru-baru ini turut memberi impak positif terhadap promosi pelancongan di situ.
“Orang Pulau Tuba ambil tahu tentang perkembangan ini apabila berita tentang mereka tersiar di akhbar. Jadi saya percaya selepas ini Pulau Tuba akan terus mendapat perhatian,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap aspek pengurusan dan pengendalian pelancongan di Pulau Tuba bagi memastikan peningkatan promosi disokong dengan perkhidmatan yang lebih berkualiti.
“Hasil penginapan saya tiga hari di sana ada sesuatu yang akan kita tawarkan kepada pemain industri di sana. Produk di sana cantik, makanan sedap dan murah, cuma daripada segi perkhidmatan masih ada ruang untuk kita baiki.
“Saya sudah berbincang dengan Kedah Tourism dan kita akan kembali ke Pulau Tuba untuk memberikan kursus berkaitan pengendalian pelancongan di sana. Usaha ini dilaksanakan tahun ini,” katanya.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memperkukuh keupayaan pemain industri tempatan selain memastikan pelancong yang berkunjung ke Pulau Tuba menerima pengalaman serta perkhidmatan yang lebih baik.
Sementara itu, pelbagai anugerah mengiktiraf pencapaian produk pelancongan di Langkawi termasuk empat anugerah pada Majlis Tourism Industry Awards 2026 membuktikan pulau peranginan itu masih menjadi tumpuan serta berdaya saing di peringkat lebih tinggi.
“Walaupun pelbagai isu yang diketengahkan dan dimainkan, sebenarnya semua itu seolah-olah satu propaganda untuk melemah dan memburukkan sedangkan kita masih mendapat perhatian dan pengiktirafan,” katanya.
Empat anugerah itu adalah Best Island Tourism Destination menerusi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA); Best Family Vacation Destination oleh Langkawi SkyCab; Best Travel Agency kepada Cuti-Cuti Langkawi Sdn. Bhd., dan Best Innovation Tourism Apps menerusi Tropical Charters Sdn. Bhd.
Kedah turut meraih anugerah Best Gastronomy Location menerusi Kopi Waktu, Ulu Sedaka di Yan; Best Iftar Experience oleh Kedah Tourism; serta Best Tourism Cooperative Initiative yang dimenangi Koperasi Kemajuan Pelancongan Kedah dan JETASIA.-UTUSAN
The post Kedah perhebat tarikan pelancongan di Pulau Tuba appeared first on Utusan Malaysia.






