
GEORGE TOWN : Pemilik bangunan warisan dan bangunan lama di Pulau Pinang diingatkan agar sentiasa melakukan pemeriksaan keselamatan terhadap premis mereka terutamanya jika premis tersebut terletak di kawasan tumpuan ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, peringatan itu diberi susulan insiden runtuhan batu dan kayu daripada struktur rasuk sebuah bangunan di Lebuh Armenian di sini yang mencederakan dua pelancong warga Sri Lanka, hari ini.
“Saya telah meminta pihak George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk mengeluarkan nasihat kepada pemilik bangunan supaya mengambil langkah melakukan pemeriksaan struktur bagi mengelakkan kejadian seumpama itu daripada berulang.
“Jika boleh, semua bangunan warisan dan bangunan lama perlu dipastikan selamat kerana ia boleh mendatangkan risiko kepada pejalan kaki serta pengunjung,” katanya selepas merasmikan Kempen Pelancongan Domestik ‘Fall In Love With Penang’ di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.11 petang itu, pelancong terbabit iaitu Mohamad Ammtar, 66, dan Fatimah, 55, bagaimanapun sempat diberikan rawatan awal oleh petugas kesihatan yang berada di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.
Jelas Hon Wai, kerajaan negeri akan memberikan bantuan sewajarnya kepada dua pelancong tersebut dan pihaknya juga sedang berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka di Kuala Lumpur bagi menyelaras bantuan yang diperlukan oleh mereka.
“Kerajaan negeri memandang serius kejadian ini kerana ia bukan sahaja menyebabkan pelancong cedera, tetapi, turut melibatkan isu keselamatan di kawasan warisan yang menjadi tarikan utama pengunjung,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, kempen ‘Fall In Love With Penang’ merupakan inisiatif baharu yang memberi penekanan khusus kepada pelancongan domestik selain meneruskan usaha menarik pelancong antarabangsa untuk ke Pulau Pinang.
Katanya, strategi promosi Pulau Pinang sebelum ini banyak menyasarkan pasaran luar negara termasuk China, Asia Tenggara dan India, namun, perubahan landskap pelancongan global memerlukan pendekatan yang lebih seimbang.
“Justeru, buat pertama kalinya, kita melancarkan kempen seperti ini kerana kita mahu rakyat tempatan kembali mengenali keistimewaan lain yang ada di Pulau Pinang selain kepelbagaian makanan dan warisan yang dimilikinya,” ujar Hon Wai.-UTUSAN
The post ‘Periksa keselamatan bangunan warisan dan lama, elak insiden runtuhan berulang’ appeared first on Utusan Malaysia.



![[KEMASKINI] Pelancong Sri Lanka cedera ditimpa struktur bangunan runtuh](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-04-at-4.43.00-PM.jpeg)

