Kedah rugi RM120 juta, cukai tanah baharu belum lulus

LocalPolitics
14 Apr 2026 • 2:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kedah rugi RM120 juta, cukai tanah baharu belum lulus
Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah dianggarkan kehilangan hasil sebanyak RM120 juta apabila cadangan semakan kadar cukai tanah baharu masih belum dapat dikuatkuasakan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan, hal itu berikutan cadangan semakan kadar cukai baharu tersebut belum mendapat kelulusan Majlis Tanah Negara (MTN).

Menurutnya, sehingga kini minit mesyuarat MTN berhubung perkara itu masih belum dikeluarkan, sekali gus menghalang pelaksanaan kadar baharu tersebut.

“Memandangkan Sultan Kedah sendiri bertitah semalam berkaitan isu ini jadi kita berharap agar kerajaan khususnya Kementerian Kewangan dan agensi terlibat, MTN membenarkan semakan ini.

"Kehilangan RM120 juta bagi negeri sangat besar dengan anggaran 10 peratus perbelanjaan negeri kalau minit mesyuarat keluar tahun ini, kena keluar kerana Sultan bertitah semalam tentang isu ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab menjawab soalan tambahan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (PN-Tokai) yang bertanya mengenai status semakan cukai berkenaan yang sepatutnya dilaksanakan tahun ini mengikut perlembagaan yang ditetapkan setiap 10 tahun.

Jelas Muhammad Sanusi, kelewatan itu memberi kesan besar kepada kewangan negeri memandangkan semakan kadar cukai tanah yang dicadangkan dijangka meningkatkan kutipan hasil secara signifikan.

Menurutnya, proses semakan kali ini mengambil masa hampir dua tahun termasuk perbandingan dengan beberapa negeri lain bagi memastikan kadar yang dicadangkan munasabah.

"Kita mulakan pasukan khas dengan peruntukan RM2 juta untuk Pejabat Tanah Galian (PTG) menyemak lebih 800,000 hak milik kena sejak 2024. Seterusnya mengemukakan satu kadar baharu yang munasabah.

"Memandangkan sudah masuk 2026 dan pemilik tanah sudah membayar pada kadar lama jadi semakan ini tidak dapat dilaksanakan tahun ini," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Sanusi memaklumkan anggaran pelupusan denda lewat bayar cukai tanah tahun ini mencecah RM49 juta sekiranya keseluruhan tunggakan berjaya dikutip.

Katanya, tempoh maksimum pemilik yang gagal menjelaskan cukai tanah adalah antara satu hingga tiga tahun sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

“Sehingga 31 Disember 2025, sebanyak 40 hak milik telah dilucut hak membabitkan jumlah tunggakan RM909,963,” jelas beliau.

 

View Original Article