
KUALA LUMPUR - Dua belas warga Bangladesh dicekup selepas dikesan bekerja tanpa permit yang sah di sebuah stesen minyak di kawasan Lebuhraya Petaling Jaya, Selasa lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kesemua mereka ditahan menerusi serbuan di premis berkenaan yang dibuat sekitar jam 12 tengah hari.
Menurut beliau, stesen minyak itu turut menawarkan khidmat mencuci kenderaan dan dipercayai menggajikan kesemua rakyat Bangladesh terbabit.
“Dalam operasi ini, 12 orang warganegara asing diperiksa dan ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki suatu pas atau dokumen yang sah bagi memasuki Malaysia.
“Mereka juga telah melanggar Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat-syarat pas,” katanya.

Jelas Ruslin, kesemua warganegara Bangladesh itu berusia dalam lingkungan 25 hingga 35 tahun.
“Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan aduan awam berhubung warganegara asing di premis tersebut, dan disyaki tidak memiliki pas serta dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Beliau memberitahu, kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil di sini untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut
“JIM (Jabatan Imigresen Malaysia) tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini.
“Tindakan tegas akan turut diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI,” katanya. - Getaran, 11 Julai 2024
