Kedai Pizza Dedah Ada Scammer Guna AI Sunting Gambar Konon Terima Piza Mentah Untuk Dapat Refund [Video]

LocalTechnology
21 May 2026 • 5:43 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Kedai Pizza Dedah Ada Scammer Guna AI Sunting Gambar Konon Terima Piza Mentah Untuk Dapat Refund [Video]

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kemajuan teknologi seperti penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) sememangnya memudahkan kehidupan antaranya seperti proses suntingan gambar.

Namun siapa sangka, ada segelintir individu yang sanggup menipu dengan menjana gambar palsu demi kepentingan diri sendiri.

Kedai Piza Dedah Taktik Scammer, Sunting Gambar AI Tuntut Refund

Itulah yang dialami oleh sebuah kedai piza, Tonda Pizza Romana yang terletak di Taman Desa Romana, Kuala Lumpur.

Kedai itu menerusi satu hantaran di Instagram mendedahkan satu taktik scammer yang sanggup menyunting gambar kononnya mendapat piza mentah semata-mata untuk menuntut (refund) wang pemulangan dari aplikasi GrabFood.

Jelas mereka, pihaknya ada mendapat aduan dari ‘pelanggan’ yang mendakwa mereka menerima piza mentah.

Bukan hanya itu, pelanggan yang membuat pesanan menerusi aplikasi itu turut memohon bayaran balik (refund) serta mengugut mahu membuat chargeback.

Pelanggan Mahu 100% Refund, Siap Attach Gambar Piza Mentah

Menerusi tangkap layar dalam video yang dikongsikan, dapat dilihat pelanggan berkenaan membuat aduan mengenai pesanan Pizza Pork Pepperoni bersaiz 12 inci dengan harga RM60 yang dipesannya secara dalam talian menerusi aplikasi GrabFood.

Dakwa pelanggan itu, dia menerima piza mentah dan mahu 100% refund atas pesanan yang dibuat.

Jika wang tersebut tidak dikembalikan sepenuhnya, dia akan membuat chargeback menerusi bank.

Melalui tangkap layar itu juga, dapat dilihat gambar piza pepperoni daging babi suntingan AI yang dikongsi oleh pelanggan berkenaan.

Jelas kelihatan doh piza yang mentah malah pepperoni serta keju dalam keadaan tidak dimasak.

Walau bagaimanapun, aplikasi berkenaan telahpun membuat bayaran balik kepada pelanggan berjumlah RM105.67.

Restoran Semak Rakaman CCTV, Siasat Kebenaran Dakwaan Pelanggan Masak Piza Mentah

Curiga dengan aduan tersebut, Tonda Pizza Romana terus menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mencari kebenaran dakwaan pelanggan terbabit.

Menerusi hantaran tersebut, dapat dilihat rakaman proses penyediaan piza yang dimasak oleh seorang pekerja restoran berkenaan sehinggalah proses pembungkusan dibuat dengan sempurna sebelum ia dihantar kepada pelanggan pada jam 11.50 malam.

Perkongsian Sekadar Peringatan, Mahu Orang Ramai Sedar Taktik Penipuan Scammer

Kongsi restoran terbabit, tujuannya berkongsi hantaran tersebut bukanlah untuk menyerang atau mendedahkan mana-mana pihak.

Sebaliknya mahu orang ramai menyedari bahawa ramai pengusaha restoran khususnya peniaga kecil mengalami nasib sama mengenai tuntutan mencurigakan serta penyalahgunaan tuntutan pemulangan wang.

Malah, Tonda Pizza Romana turut mengingatkan pengusaha-pengusaha restoran lain agar menyimpan bukti seperti rakaman CCTV, log masa dan rekod dapur sebagai langkah berjaga jika insiden sama berulang kembali.

Tidak Salahkan GrabFood, Anggap Platform Penghantaran Makanan Tak Tahu Taktik Baharu Scammer

Memetik Malay Mail, pemilik Tonda Pizza Romana, Alan Goh menjelaskan dia tidak menyalahkan GrabFood.

Malah, dia percaya bahawa platform berkenaan juga tidak mengetahui atau biasa dengan taktik terbaharu scammer ini.

Jelas Alan yang bergantung kepada GrabFood sebagai sumber pendapatan tambahan, dia berharap agar platform terbabit dapat mencari jalan penyelesaian bagi menangani isu ini.

“Kami tidak mampu untuk hilang pendapatan dengan cara sebegini jika taktik penipuan ini menjadi kebiasaan.

“Saya benar-benar berharap agar GrabFood mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah scam ini,” katanya.

View this post on Instagram

A post shared by Tonda Pizza Romana (@tondapizzaromana)

Baca Artikel Berkaitan: Kantoi Bila Nak Bank In Tak Lepas, Peniaga Kesal Ditipu Pelanggan Bayar Pakai Duit Palsu [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Peniaga Online Dakwa Hampir Ditipu, Pelanggan Pura-pura Konon Barang Diterima Tak Mencukupi