Lubang Benam Di Wangsa Maju, Pengguna Jalan Raya Diminta Waspada

12 May 2026 • 9:19 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Lubang Benam Di Wangsa Maju, Pengguna Jalan Raya Diminta Waspada

KUALA LUMPUR - Keselamatan orang ramai khususnya pengguna jalan raya di di Jalan Wangsa Delima 4 di Wangsa Maju di sini terancam, susulan kejadian lubang benam.

Menerusi video yang tular di media sosial, dapat dilihat sebuah kenderaan melalui kawasan tersebut, beberapa saat sebelum permukaan jalan runtuh.

Rakaman yang dikongsi di Threads oleh pengguna dikenali sebagai arifizyani menunjukkan lubang benam itu terbentuk berhampiran saliran tepi jalan.

Aliran air deras kemudian memasuki ruang runtuhan berkenaan, dipercayai berpunca daripada paip bawah tanah.

Air itu turut dilihat bertakung di dasar lubang, manakala besi tetulang dan batu bata yang terdedah jelas kelihatan pada dinding runtuhan.

Sebahagian permukaan jalan di sekeliling kawasan berkenaan juga jelas berada dalam keadaan tidak stabil, khususnya di bahagian tepi lubang.

Menerusi hantaran tersebut, pengguna berkenaan menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika menggunakan laluan itu, memandangkan lokasinya berhampiran persimpangan Wangsa Walk.

Satu lagi rakaman kamera papan pemuka yang dikongsi di ruangan komen oleh pengguna hazim_din menunjukkan sebuah kereta melalui jalan sama sejurus sebelum kejadian berlaku.

Kenderaan terbabit kelihatan ‘tersentak’ selepas melalui kawasan berkenaan, menyebabkan pemandunya terpaksa memberhentikan kereta di tepi jalan.

Insiden itu menarik perhatian meluas warga maya, malah ramai meluahkan kebimbangan memandangkan kawasan tersebut dikelilingi pembangunan kediaman bertingkat tinggi.

“Bayangkan berapa banyak kondominium di situ. Menakutkan,” tulis seorang pengguna.

Seorang lagi berkata: “Wangsa Maju?! Kawasan itu sudah dipenuhi apartmen dan kondominium tinggi, sekarang tanah di bawah pula berlubang.”

Beberapa pengguna turut membuat spekulasi mengenai punca kejadian, termasuk mengaitkannya dengan hakisan tanah yang berlaku sejak sekian lama.

“Air saliran dan aliran permukaan. Hakisan tanah sudah berlaku lama sehingga menyebabkan pergerakan tanah sebesar ini,” kata pengguna itu. 

Video kejadian dapat dilihat menerusi pautan https://www.facebook.com/share/r/1B9VBtPSm6/?mibextid=wwXIfr - Getaran, 12 Mei 2025