Kedai Serbaneka Indonesia Rancang Buka Cawangan Di Malaysia

LocalBusiness & Finance
22 Jul 2025 • 4:28 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Kedai Serbaneka Indonesia Rancang Buka Cawangan Di Malaysia

Rangkaian kedai serbaneka terbesar Indonesia, Alfamart, merancang untuk mengembangkan operasinya dengan membuka cawangan ke Malaysia dan Bangladesh dalam masa terdekat, lapor CNN Indonesia.

Menteri Perdagangan Indonesia, Budi Santoso berkata, ia sebagai sebahagian daripada strategi pemasaran global syarikat itu.

Tambahnya, ekspensi runcit negara itu ke luar negara kini tidak lagi terhad kepada eksport barangan sahaja, malah turut melibatkan eksport perkhidmatan melalui pembukaan kedai fizikal di negara asing.

“Sekarang Aprindo (Asosiasi Pengusaha Ritel Indonesia) bukan hanya mengeksport barang, tetapi turut ‘mengeksport’ kedai.

“Alfamart kini memiliki lebih 2,400 cawangan di Filipina dan sedang meneroka peluang pembukaan cawangan baharu di Malaysia dan Bangladesh,” katanya dalam sidang media di Jakarta, Khamis.

Menurut beliau, kewujudan kedai runcit Indonesia di luar negara membuka lebih banyak ruang kepada produk tempatan untuk memasuki pasaran antarabangsa. Malah, sebahagian besar produk yang dijual di cawangan Alfamart di Filipina merupakan keluaran dari Indonesia.

Pengerusi Umum Aprindo, Roy Nicholas Mandey, pula menjelaskan bahawa kejayaan Alfamart di Filipina dicapai melalui kerjasama strategik bersama rakan kongsi tempatan.

“Di Filipina, kita guna pendekatan kerjasama. Kita tak masuk 100 peratus sendirian, tapi bersama rakan kongsi yang sesuai dengan pasaran mereka. Cara ini lebih berkesan,” katanya.

Setakat Julai 2024, Alfamart telah membuka cawangan ke-2,000 di Sta Rosa, Laguna.

Operasinya disokong oleh lima pusat pengedaran utama dan menggaji lebih 12,000 pekerja tempatan serta beberapa tenaga kerja dari Indonesia.

Kedai-kedai Alfamart di Filipina mengekalkan format yang sama seperti di Indonesia, menjual barangan keperluan harian, produk makanan dan minuman, barangan segar dan sejuk beku serta perkhidmatan pembayaran elektronik.

Mengulas lanjut mengenai rancangan ke Malaysia, pihak Alfamart menyatakan negara itu merupakan antara lokasi sasaran utama memandangkan struktur pasarnya yang hampir serupa dan tahap kesediaan logistik yang tinggi.

“Kita sudah siapkan perancangan awal, dan antara negara yang paling berpotensi sekarang ialah Bangladesh dan Malaysia. Kami yakin segmen pasaran di Malaysia sangat selari dengan jenama Alfamart,” kata Solihin, salah seorang pegawai kanan syarikat tersebut.

Alfamart mula menembusi pasaran antarabangsa pada 2014 dengan membuka kedai pertamanya di Filipina.

Syarikat itu bukan sahaja membawa produk tempatan ke pasaran luar, tetapi juga mempromosikan jenama Indonesia secara global melalui model runcit yang mampan dan mudah diakses.