Kedudukan Melayu tidak terancam disebabkan kaum lain – Saifuddin Nasution

LocalPolitics
16 Aug 2026 • 9:21 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Kedudukan Melayu tidak terancam disebabkan kaum lain – Saifuddin Nasution

Datuk Seri Saifuddin Nasution menegaskan kedudukan orang Melayu tidak terancam disebabkan kaum lain, sebaliknya tergugat oleh kemiskinan dan isu penagihan dadah.

MELAKA: Kedudukan orang Melayu di negara ini tidak terancam disebabkan kewujudan kaum lain, sebaliknya lebih tergugat oleh faktor kemiskinan serta masalah sosial seperti penagihan dadah, kata Naib Presiden PKR yang kini menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar).

Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata ancaman sebenar terhadap kaum majoriti itu adalah apabila mereka terus dibelenggu kemiskinan dan gejala penagihan dadah yang serius.

“Saya ingin kata bahawa orang Melayu dan orang Islam terancam bukan kerana kewujudan kaum lain di negara ini, Melayu tidak terancam kerana ada orang Cina di negara ini. Melayu tidak terancam kerana ada orang India dalam negara ini.

“Melayu terancam kalau orang Melayu miskin. Melayu terancam kalau orang Melayu paling banyak terlibat dengan masalah dadah, ini ancaman terhadap orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Memetik data daripada Kementerian Kesihatan dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Saifuddin Nasution berkata secara purata kira-kira 560 bagi setiap 100,000 rakyat terjebak dengan gejala penagihan dadah.

Bagaimanapun, beliau menarik perhatian bahawa angka tersebut menunjukkan trend membimbangkan di beberapa negeri majoriti Melayu yang mencatatkan bacaan melebihi 1,000 bagi setiap 100,000 penduduk.

“Bila angka itu saya petik daripada Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, di negeri ini semuanya melebihi 1,000 bagi setiap 100,000 penduduk (terlibat dengan penagihan dadah).

“Maksudnya, ancaman terbesar orang Melayu ialah kerana anak-anak Melayu terjebak dengan dadah, kebetulan atau tidak, suratan atau kebetulan, yang paling tinggi adalah negeri-negeri (ramai) Melayu,” katanya.

Beliau berkata kumpulan umur antara 15 hingga 39 tahun mencatatkan penglibatan tertinggi dalam aktiviti tidak sihat itu, terutama bagi mereka yang mempunyai tahap pendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Bila kami tidak tumpukan kepada membangunkan negeri, kamu hanya bangkitkan DAP, DAP, DAP, (tetapi negeri) kamu tak jaga, peluang pekerjaan tidak wujud, anak muda terlibat dengan dadah.

“Kalau ditanya kepada saya bagaimana Melayu terancam, Melayu terlibat dengan dadah ini ancaman kepada bangsa Melayu,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved