Melayu terancam kerana miskin, bukan kerana kaum lain

LocalPolitics
16 Aug 2026 • 1:36 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Melayu terancam kerana miskin, bukan kerana kaum lain

MELAKA: Ancaman sebenar terhadap masyarakat Melayu bukan datang daripada kaum lain, sebaliknya kemiskinan dan masalah sosial yang menjejaskan masa depan generasi mereka.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tumpuan seharusnya diberikan kepada masalah sebenar yang membelenggu masyarakat Melayu berbanding terus memainkan sentimen bahawa Melayu dan Islam sentiasa terancam.

Katanya, kemiskinan perlu ditangani secara serius kerana kesempitan hidup bukan sahaja memberi kesan kepada sesebuah keluarga, malah boleh menjejaskan masa depan anak-anak.

“Melayu tak terancam kalau ada orang Cina dalam negara. Melayu tak terancam kalau ada orang lain dalam negara.

“Melayu terancam kalau orang Melayu miskin. Melayu terancam kalau orang Melayu paling banyak terpinggir dalam negara. Ini ancaman kepada orang Melayu,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Saifuddin yang kini menggalas tugas-tugas Timbalan Presiden berkata, penyalahgunaan dadah khususnya dalam kalangan anak muda juga perlu dilihat sebagai ancaman terhadap masa depan masyarakat Melayu.

Beliau berkata, masalah berkenaan amat ketara di negeri-negeri majoriti Melayu, antaranya Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Ancaman terbesar kepada Melayu adalah anak-anak Melayu terjebak dengan dadah. Bila kita semak data, siapa yang terlibat? Umur 15 hingga 39 paling tinggi,” katanya.

Menurut Saifuddin, perhatian sewajarnya perlu diberikan kepada soal pendidikan, pekerjaan dan peluang ekonomi anak muda berbanding hanya menjadikan parti atau kaum tertentu sebagai sasaran politik.

Katanya, perkara berkenaan perlu ditangani sekiranya mahu membela masyarakat Melayu secara lebih menyeluruh.

“Melayu terlibat dengan dadah, ini ancaman kepada bangsa Melayu. Jangan kita main politik negatif,” katanya. – UTUSAN

The post Melayu terancam kerana miskin, bukan kerana kaum lain appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved