Kegagalan menunaikan janji?

4 May 2024 • 10:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Lima indikator digunakan RSF bagi mengukur kebebasan media dalam kalangan 180 negara yang dinilai perlu ditelaah bersungguh-sungguh oleh Kerajaan Madani ke arah meningkatkan ranking Malaysia dalam indeks RSF itu. - Gambar hiasan 123RF

PENARAFAN (ranking) Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2024 diterbitkan oleh Reporters sans frontiers (RSF) atau dalam bahasa Inggerisnya dikenali sebagai Reporters Without Borders yang beribu pejabat di Paris, Perancis dua hari lalu jatuh ke kedudukan 107 berbanding 73 bagi 2023.

Bagaimanapun, yang bagusnya dalam menghadapi riuh rendah kejatuhan 34 anak tangga dalam indeks terbaharu RSF itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil selaku jurucakap Kerajaan Madani mengambil sikap terbuka.

Menurutnya, banyak yang perlu dimuhasabah dalam mengimbangi usaha menjamin kebebasan media dan pada masa sama melawan fitnah serta sebaran maklumat palsu.

Katanya: “Insya-ALLAH, saya dan pasukan akan menghadam laporan ini dan merangka usaha yang lebih mapan ke depan.”

Menarik juga diperhatikan reaksi Fahmi kali ini berbeza dengan respons beliau sewaktu NGO hak asasi manusia antarabangsa, Amnesty International dalam laporan 2024 diterbitkan 27 April lalu mengatakan, Kerajaan Madani failed to fulfil commitments to reform laws to freedom of expression and continued to use repressive laws to silence critical voices and prevent peaceful protests.

Ketika itu Fahmi menempelak Amnesty International - ‘Tidak ada wartawan yang ditangkap atau akhbar dan portal berita ditutup’ sebagai bukti wujud kebebasan media di negara ini.

Sudah tentu dalam merangka usaha lebih mapan ke depan, lima indikator digunakan RSF bagi mengukur kebebasan media dalam kalangan 180 negara yang dinilai perlu ditelaah bersungguh-sungguh oleh Kerajaan Madani ke arah meningkatkan ranking Malaysia dalam indeks RSF itu.

Ia meliputi aspek politik, ekonomi, perundangan, sosial dan keselamatan petugas media dalam ekosistem kewartawanan serta media di negara ini.

Tidak dapat tidak, dalam penelitiannya Kerajaan Madani kena menerima hakikat bahawa faktor penting yang telah menyumbang kepada tangga 107 itu ada kaitan langsung dengan kegagalan kerajaan memperbaharui undang-undang yang dianggap mengongkong kebebasan bersuara.

Ia telah dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam dua pilihan raya umum pada 2018 dan 2022.

Ia termasuklah mereformasi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang mengawal selia media cetak serta elemen-elemen tertentu dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang mengawal selia media penyiaran serta digital.

Selain itu, kegagalan Kerajaan Madani memperbaharui undang-undang lapuk yang secara tidak langsung menyekat kebebasan bersuara juga tidak membantu kedudukan kita dalam indeks RSF.

Antaranya termasuklah Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan beberapa kerangka perundangan lain, bertujuan memberi kebebasan lebih luas kepada pengamal media mengakses maklumat.

Kedudukan kita dalam indeks RSF merudum juga ada kaitan dengan kegagalan kerajaan menyegerakan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) yang berupaya bertindak sebagai entiti kawalan kendiri dalam bidang kewartawanan negara ini bagi membolehkan media memainkan peranannya sebagai jagawan estet keempat untuk menyemak dan mengimbangi tiga kuasa negara dalam sebuah demokrasi.

Usaha menubuhkan MMM bermula semasa 22 bulan pertama PH berkuasa selepas PRU 2018 dan diteruskan selepas PH kembali berkuasa pada penghujung 2022.

Jawatankuasa Protem MMM yang ditubuhkan sewaktu Gobind Singh menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia pada 2019 telah menyiapkan tugasnya merangka Rang Undang-Undang MMM.

Kabinet dikhabarkan sudah memberi lampu hijau kepada penubuhan MMM. Sekiranya MMM menjadi kenyataan dalam waktu terdekat ini dan pada masa sama pembaharuan undang-undang mengongkong yang dianggap menyekat kebebasan media serta bersuara dapat dijayakan, maka tidak mustahil kedudukan Malaysia dalam indeks kebebasan RSF bagi 2025 dan seterusnya kembali melonjak lebih baik.

Dengan kata lain, kegagalan menunaikan janji untuk mereformasi kerangka perundangan kebebasan media setelah satu tahun enam bulan berkuasa adalah sebab utama kedudukan Malaysia jatuh ke tangga 107 dalam indeks RSF bagi 2024.

Bagi membetulkan keadaan, laksanakan segera segala janji yang dilafazkan. Jika tidak, kedudukan Malaysia yang madani dalam indeks RSF kekal setaraf dengan Mongolia!

* Dr Chamil Wariya ialah Pengarah VOA MEDIA NETWORK, penyedia kandungan faktual

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!