Kegiatan risikan Israel dan perkampungan di Phuket, Selatan Thailand dilihat potensi ancaman kepada negara: Anwar

LocalPolitics
3 Nov 2026 • 11:55 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Kegiatan risikan Israel dan perkampungan di Phuket, Selatan Thailand dilihat potensi ancaman kepada negara: Anwar

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya tidak menganggap ancaman keselamatan yang berlaku di negara lain terlalu jauh untuk memberikan kesan kepada Malaysia.

Perdana Menteri turut memberi contoh mengenai kebimbangan berhubung kegiatan risikan Israel yang beroperasi di negara-negara jiran dan perkampungan Israel di Phuket serta Selatan Thailand, yang dilihat sebagai potensi ancaman kepada negara.

“Kita menedahkan kepada masyarakat, sebab itu, dinasihat oleh MKN semalam supaya saya keluarkan kenyataan hari ini.

“Supaya mengingatkan Ahli-Ahli berhormat dan rakyat umumnya bahawa jangan kita fikir ancaman ini ancaman yang jauh dari kita, kerana apa yang berlaku di Eropah dan di Amerika serta Jepun itu memang gempar, menggemparkan negara masing- masing.

“Kita masih memantau apakah perkembangan lain yang juga melibatkan persoalan ketegangan konflik Asia Barat, perkembangan Yaman dan Lautan Merah, ancaman keselamatan yang berlaku di Eropah yang menggambarkan bahawa krisis di luar negara boleh menjejaskan keselamatan rakyat, kestabilan ekonomi dan kepentingan negara,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kenyataan berhubung tahap kesiapsiagaan keselamatan negara dalam menghadapi perkembangan konflik geopolitik dan ketegangan keselamatan serantau serta antarabangsa di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri memberitahu, walaupun tidak semua maklumat itu boleh didedahkan namun Malaysia tentunya di antara negara yang dianggap menjadi sasaran.

“Ada dua perkara, pertama, kerana kekuatan kita dalam soal digital dan data centre di antara terkuat, kalau dalam angka terakhir umpamanya kekuatan kita itu boleh menyaingi Eropah

“Dan kedua, kerana pendirian kita juga tegas dalam beberapa isu yang dianggap kontroversial oleh sesetengah negara terutama Eropah dan Amerika. Terutama soal Palestine dan Gaza,’’ katanya.

Anwar dalam pada itu memberitahu kerajaan mengambil maklum mengenai tindakan beberapa negara seperti Kesatuan Eropah (EU), Kanada dan Jepun yang mengeluarkan arahan dan nasihat kepada rakyatnya supaya menyimpan stok barang makanan selama tiga sehingga sepuluh hari.

“Ini disebabkan oleh keadaan antarabangsa tidak menentu, terutama berikutan serangan siber yang menyeluruh dan menggemparkan yang melanda seluruh infrastruktur digital Eropah dan dunia Barat termasuk sistem pentadbiran,’’ katanya.

Mengulas lanjut, Anwar memberitahu, Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan semalam turut meneliti serangan hibrid digital dan siber dan apakah benar ancaman dan serangan ke atas beberapa Negara Teluk khususnya Iran akan menjejaskan penggunaan nuklear.

Mesyuarat berkenaan juga, katanya melihat sama ada perkembangan politik di Eropah akan menjejaskan sistem pentadbiran negara.

“Petang ini, Ketua Setiausaha Negara (KSN) akan mempengerusikan mesyuarat dengan semua jabatan yang berkenaan dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengadakan sidang khas dengan semua institusi kewangan dalam negara.

“Ini juga kita belajar dari pengalaman dan pendekatan kesiapsiagaan Kesatuan Eropah, EU Preparedness Union Strategy untuk menghadapi sebarang bentuk ancaman yang melibatkan seluruh jentera kerajaan dan swasta dan masyarakat umumnya,’’ katanya.

Anwar turut memberitahu, semua menteri, kementerian dan agensi diminta untuk terus menjalankan tanggungjawab dengan memastikan penyelarasan yang berkesan manakala badan-badan di bawah pengawasan mereka diminta bersiapsiaga, terutama pasukan keselamatan.

Beliau juga, katanya menerusi pertemuan dalam MKN itu mendapat jaminan kesiapsiagaan daripada Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Ketua Polis Negara.

“Mudah-mudahan Allah memelihara dan menyelamatkan negara Malaysia tercinta,’’ katanya. - 3 November, 2026

The post Kegiatan risikan Israel dan perkampungan di Phuket, Selatan Thailand dilihat potensi ancaman kepada negara: Anwar appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved