SEBERANG PERAI TENGAH – Kegiatan penyelewengan minyak diesel tumpas menerusi serbuan di sebuah premis di daerah ini apabila pihak berkuasa merampas pelbagai barangan termasuk kenderaan dan cecair disyaki diesel bernilai lebih RM350,000 pada Khamis.
Dalam operasi kira-kira jam 2 petang itu, dua lelaki turut ditahan bagi membantu siasatan.
Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, serbuan dijalankan Pasukan Risik PSP Bukit Aman hasil maklumat risikan yang diperoleh sebelum ini.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi mendapati premis berkenaan dipercayai digunakan untuk menyimpan dan memindahkan minyak diesel secara tidak sah.
"Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan menemui beberapa peralatan dan tangki yang disyaki digunakan bagi menyimpan serta memindahkan minyak diesel.
**media[3464029]**
"Dalam operasi itu juga, pihak polis merampas sebuah lori bonded, beberapa tangki simpanan termasuk tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) yang disyaki mengandungi minyak diesel serta beberapa peralatan berkaitan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan melibatkan kenderaan, cecair disyaki minyak diesel serta peralatan berkaitan dianggarkan bernilai RM359,207.
Rosli berkata, kedua-dua lelaki yang ditahan bersama barangan rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
"Operasi ini merupakan hasil kerjasama bersepadu antara agensi penguat kuasa dalam usaha membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan di negara ini.
"Polis Diraja Malaysia akan terus mempergiatkan operasi seumpama ini bagi memastikan aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan dapat dibanteras secara berkesan,” katanya.

