Kehadiran peserta RXZ Members 8.0 dijangka terjejas 10 peratus - Penganjur

LocalPolitics
16 Jul 2026 • 1:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kehadiran peserta RXZ Members 8.0 dijangka terjejas 10 peratus - Penganjur
Lukhman (berdiri, kiri) bersama Mohd Khairi (duduk, kanan) dan Azli (duduk, kiri) ketika sidang akhbar diadakan bersama pihak berkuasa di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di Kuala Terengganu, pada Khamis.

KUALA TERENGGANU – Kehadiran peserta pada program himpunan motosikal mega, RXZ Members 8.0 yang dijadualkan berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak di Kuala Nerus pada 31 Julai hingga 1 Ogos depan dijangka mengalami sedikit penyusutan. ​

Penganjur program, Lukhman Hassan berkata, kira-kira 10 peratus daripada sasaran awal 120,000 peserta dijangka tidak dapat hadir berikutan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang bertembung pada hari sama.

"Sebagai penganjur kita menasihatkan peserta supaya utamakan dahulu tanggungjawab terhadap negara kerana ia adalah keutamaan.

"Walaupun bertembung dengan tarikh PRN Negeri Sembilan, acara tahunan ini dijangka akan tetap berlangsung dengan meriah memandangkan sambutan luar biasa diterima daripada peminat tegar dari seluruh pelosok tanah air," katanya pada sidang akhbar yang diadakan bersama pihak berkuasa di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin dan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor.

Sebelum ini, acara himpunan motosikal terbesar Malaysia itu berjaya merekodkan kehadiran kira-kira 150,000 peserta bagi siri ketujuh yang diadakan di Litar Permotoran Kompleks Sukan Gong Badak, Terengganu pada 22 hingga 23 Ogos tahun lalu.

Sementara itu, ​mengulas mengenai peruntukan berjumlah RM300,000 yang sebelum ini diumumkan oleh Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin pada edisi tahun lalu, Lukhman mengesahkan ia telah diterima tanpa sebarang masalah.

"Dana tersebut diuruskan dengan baik demi memastikan kelancaran persiapan dan penyediaan kemudahan buat para peserta yang hadir ke Terengganu.

​"Peruntukan RM300,000 yang diumumkan tahun lepas itu sudah kita terima dan tiada sebarang isu atau masalah berhubung perkara berkenaan. Segala persiapan untuk persediaan program berjalan lancar," katanya.

​Dalam pada itu, Lukhman berkata, penganjuran RXZ Members edisi kelapan kali ini tidak melibatkan mana-mana ahli politik, sama ada di peringkat kerajaan negeri mahupun Persekutuan.

Jelas beliau, ​langkah itu diambil bagi mengekalkan keaslian matlamat program yang bertindak sebagai platform penyatuan peminat permotoran semata-mata, tanpa dicampur aduk dengan sentimen kepartian.

"​Sebagai ganti, acara kali ini bergerak sepenuhnya atas dasar sokongan entiti korporat dengan penglibatan jenama pelincir terkemuka, Petronas Sprinta sebagai penaja terbesar rasmi.

"​Kerjasama korporat ini dijangka bakal memberikan pulangan yang lebih baik selain menawarkan pelbagai pengisian dan hadiah cabutan bertuah lebih lumayan buat semua pengunjung yang hadir," ujarnya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved