100,000 peminat RXZ bakal gegarkan Terengganu, polis beri ruang dengan syarat peserta jaga disiplin

16 Jul 2026 • 3:48 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

100,000 peminat RXZ bakal gegarkan Terengganu, polis beri ruang dengan syarat peserta jaga disiplin Image from: 100,000 peminat RXZ bakal gegarkan Terengganu, polis beri ruang dengan syarat peserta jaga disiplin liza16/07/2026 - 15:48 Gambar RXZ Members Official Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA TERENGGANU 16 Julai – Penganjuran RXZ Members 8.0 yang bakal menghimpunkan peminat motosikal dari seluruh negara akan dikendalikan menerusi pendekatan kawalan keselamatan berfokus, bukannya operasi besar-besaran terhadap peserta.

 

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata pihaknya mahu memastikan acara berkenaan berlangsung dalam keadaan selamat dan terkawal, selain memberi ruang kepada peminat motosikal untuk hadir tanpa berasa bimbang akan dikenakan tindakan sekiranya mereka mematuhi peraturan ditetapkan.

 

Beliau berkata, kehadiran ramai peserta ke Terengganu perlu dilihat secara positif, namun aspek pematuhan undang-undang jalan raya kekal menjadi keutamaan sepanjang program berlangsung.

 

 

 

 

 

 

Menurutnya, polis tidak akan menjalankan operasi ‘pukat’ yang bertujuan menahan peserta secara besar-besaran (sekiranya ada kesalahan), sebaliknya memberi tumpuan kepada pemantauan serta pencegahan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

 

“Tidak ada operasi ‘pukat’. Kita mengalu-alukan kedatangan mereka ke Terengganu, tetapi peraturan jalan raya masih perlu dipatuhi.

 

“Sekiranya ada yang melakukan kesalahan, tindakan tetap akan diambil,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu hari ini.

 

Program RXZ Members 8.0 dijadual berlangsung pada 31 Julai hingga 1 Ogos ini dan dijangka menarik kehadiran lebih 100,000 peminat motosikal.

 

t
Laluan pantai berdekatan kediaman penduduk menjadi lokasi tumpuan polis sepanjang acara permotoran RXZ 8.0 berlangsung

 

Kawalan Keselamatan Diperkasa Di Lokasi Tumpuan

Bagi memastikan pergerakan peserta serta pengguna jalan raya lain tidak terjejas, seramai 619 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan sepanjang program berkenaan.

 

Mohd Khairi berkata, penugasan anggota akan melibatkan kawasan sekitar lokasi acara selain laluan yang dijangka menerima peningkatan jumlah motosikal sepanjang tempoh tersebut.

 

Katanya, beberapa kawasan tumpuan seperti Jalan Pantai Seberang Takir dan Jalan Pantai Teluk Ketapang akan diberi perhatian berikutan lokasi berkenaan sering menjadi tempat peserta berkumpul.

 

Beliau berkata, pemantauan di kawasan terbabit bertujuan mengelakkan segelintir individu melakukan tindakan berisiko termasuk aksi menunggang secara berbahaya yang boleh mengancam keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.

 

Selain kawalan anggota di lokasi strategik, polis turut meningkatkan rondaan menggunakan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kereta peronda (MPV).

 

rxz

 

Peserta RXZ Perlu Utamakan Disiplin

Dalam masa sama, polis meminta semua peserta memastikan motosikal masing-masing berada dalam keadaan baik sebelum menyertai program berkenaan.

 

Mohd Khairi berkata, peserta perlu memastikan perkara asas seperti lesen memandu sah, nombor pendaftaran mengikut peraturan, penggunaan cermin sisi serta sistem ekzos mematuhi spesifikasi ditetapkan.

 

Beliau turut mengingatkan peserta supaya tidak menjadikan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) sebagai lokasi perlumbaan atau tempat menguji kemampuan motosikal masing-masing.

 

Selain itu, peserta dinasihatkan supaya menghormati ketenteraman awam dengan mengelakkan bunyi bising atau sebarang aktiviti yang boleh mengganggu penduduk sekitar, khususnya berhampiran hospital dan kawasan penginapan.

 

Rekod Kemalangan Jadi Peringatan

Mohd Khairi berkata, langkah kawalan yang dilaksanakan mengambil kira pengalaman penganjuran sebelum ini yang merekodkan beberapa kejadian kemalangan sepanjang program berlangsung.

 

Pada penganjuran tahun lalu, sebanyak dua kemalangan maut, dua kemalangan menyebabkan kecederaan parah dan tujuh kemalangan melibatkan kecederaan ringan direkodkan.

 

Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan bukan bertujuan mencari kesalahan peserta atau mengeluarkan saman sebanyak mungkin, sebaliknya memastikan keselamatan semua pihak terjamin.

 

 

 

 

 

 

 

Katanya, kejayaan RXZ Members 8.0 bukan sahaja diukur berdasarkan jumlah kehadiran peserta, tetapi juga kemampuan mereka kembali ke destinasi masing-masing dengan selamat selepas tamat program.

 

“Matlamat kita bukan untuk mengeluarkan sebanyak mungkin saman tetapi memastikan semua peserta dapat datang ke Terengganu, menyertai program dan pulang ke destinasi masing-masing dengan selamat,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved