
KEHILANGAN penuh tanda tanya pempengaruh Ija Nizaruddin, atau nama sebenarnya Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin berakhir dengan plot twist yang mengejutkan.
Menerusi laporan Sinar Harian, kehilangan influencer permotoran berusia 33 tahun itu rupanya dirancang untuk kepentingan peribadi. Lebih memeranjatkan, Ija dipercayai menenggelamkan kereta milik isterinya di Sungai Tui, Lenga sebelum melarikan diri ke negara jiran!
Berikut sembilan fakta berkaitan penemuan terbaharu siasatan yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia:
1-Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, laporan kehilangan yang dibuat adiknya pada 15 Julai lalu dipercayai bertujuan mengaburi pihak berkuasa.
2-Ija sebelum itu dikatakan hilang selepas memaklumkan bahawa dia dalam perjalanan ke Muar untuk membaiki kenderaan.

3-Adiknya, Tengku Abd Aziz, 30, tampil membuat laporan polis di Balai Polis Lenga sehingga membawa kepada pelancaran operasi mencari dan menyelamat (SAR).
4-Namun, siasatan mendapati terdapat unsur penipuan dalam laporan tersebut.
5-Tengku Abd Aziz mengaku bersubahat serta sengaja berpura-pura menjalankan usaha pencarian bagi mengelirukan polis.
6-Tengku Abd Aziz dan Ija telah diambil keterangan dan siasatan lanjut akan diteruskan selepas pihak polis memperoleh kebenaran menyiasat (OTI) dari pihak Timbalan Pendakwa Raya.

7-Kes kini disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam serta Seksyen 109 kerana bersubahat melakukan kesalahan.
8-Jika disabitkan, mereka boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
9-Polis menegaskan tindakan membuat laporan palsu adalah kesalahan serius yang boleh menjejaskan sumber dan keutamaan tugasan pihak berkuasa.
Terdahulu, media melaporkan (SAR) bagi mengesan Ija telah ditamatkan pada Jumaat selepas empat hari dijalankan tanpa sebarang petunjuk baharu.
Ija yang memiliki ebih 53,000 pengikut setia di Facebook sebelum ini keluar dari rumah di Johor Bahru untuk ke bengkel pada tengah hari Isnin dilaporkan hilang selepas kereta Perodua Axia dinaiki terbabas lalu terjunam ke dalam Sungai Kampung Tui, Bukit Kepong, Muar, Johor pada Isnin.
Isteri dan adiknya kemudian telah diambil keterangan pada malam Selasa.
Sumber: Sinar Harian 1, 2


