
KUALA LUMPUR - Polis hari ini mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kehilangan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, sejak 23 Mei lalu, seperti yang dilaporkan di media sosial.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Abdul Malik Hasim, berkata, siasatan awal setakat ini tidak menemui sebarang petunjuk yang mengaitkan kehilangan mangsa dengan unsur jenayah.
"Saya faham pelbagai dakwaan sedang tular di media sosial, termasuk yang berkaitan dengan Ah Long, namun siasatan mendedahkan bahawa kehilangannya tidak melibatkan sebarang unsur jenayah," katanya pada sidang media.
Beliau juga memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi Jaslinda, yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih, akan diteruskan secara kecil-kecilan bermula esok.
Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Penyelarasan SAR yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Batang Padang, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.
Abdul Malik berkata, operasi mencari akan disusun semula dengan penglibatan anggota dan agensi yang lebih terhad, diketuai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). – Getaran, 3 Jun 2026






