
Keindahan Dalam Kegelapan, Pelukis Muda Jadikan Mata Simbol 'Nyawa' Dalam Karya Surealisme
Seni ialah satu bentuk ciptaan atau ekspresi manusia terhadap sesuatu yang dianggap indah.
Setiap individu mempunyai pandangan berbeza tentang keindahan, sebab itu seni juga hadir dalam pelbagai bentuk dan gaya.
Ada pelukis yang gemar menghasilkan karya bertemakan pemandangan alam seperti gunung, laut dan langit.
Ada juga yang lebih memilih lukisan abstrak yang penuh dengan tafsiran dan makna tersirat.
Berbeza dengan Aiman Zamri, 30, seorang pelukis yang menghasilkan lukisan berunsur mistik dan surealisme, di mana karya-karyanya sarat dengan simbolik serta unsur misteri.
Meluahkan isi hati yang tersirat melalui lukisan
Aiman, yang berasal dari Klang, Selangor merupakan seorang pelukis berkelulusan Diploma Seni Halus.
Apabila ditanya tentang apa yang mendorong beliau memilih gaya lukisan berunsur mistik dan surealisme, beliau menjelaskan sejak mengikuti pengajian diploma dalam jurusan seni halus, kebanyakan tugasan yang diberikan banyak menekankan pencarian identiti diri dalam berkarya.
Bermula dari situ, beliau mula banyak melakukan eksperimen menggunakan pelbagai medium seperti cat minyak, arang dan sebagainya.

“Saya juga banyak mencuba menghasilkan gambaran potret manusia yang saya olah sendiri, di mana saya mengubah potret tersebut menjadi karya abstrak
"Apabila saya menunjukkan hasil lukisan kepada pensyarah, beliau berpuas hati dan meminta saya mengembangkan lagi idea-idea yang sama
"Secara tidak langsung, karya-karya yang saya hasilkan banyak berfokus pada unsur-unsur suram dan ‘dalam’. Salah satu dorongan utama juga adalah kerana saya dapat merasakan kepuasan apabila menghasilkan lukisan-lukisan sedemikian
“Ia seolah-olah saya dapat meluahkan isi hati yang tersirat yang saya sendiri tidak tahu pernah wujud sebelum ini,” katanya kepada SK.

Dalam proses menghasilkan karya seni, perasaan yang dialami oleh Aiman sering berubah bergantung pada jenis lukisan yang sedang dihasilkan.
Sekiranya lukisan tersebut merupakan tempahan pelanggan seperti pemandangan atau potret perkahwinan, perasaan yang hadir lebih bersifat teruja dan santai kerana ia mengikuti kehendak serta permintaan orang lain.
"Jika lukisan tersebut merupakan karya daripada gaya peribadi saya sendiri, seperti lukisan berunsur mistik dan 'dark', emosi saya biasanya bercampur-baur. Adakalanya saya berasa gembira, gundah, marah dan kadangkala juga seperti kebas," ujarnya lagi.

Sumber inspirasi Aiman dalam dunia seni
Dalam dunia seni, setiap pelukis biasanya mempunyai individu atau artis yang menjadi sumber inspirasi mereka sendiri.
Inspirasi ini boleh datang daripada pelukis terkenal, pengalaman hidup atau karya seni yang pernah mereka lihat.
Begitu juga dengan Aiman yang menjadikan Anish Kapoor, seorang pengarca dari Britain sebagai salah satu sumber inspirasinya.
Anish Kapoor banyak menggunakan arca sebagai medium untuk memberikan impak yang kuat dalam karya-karyanya.

Salah satu karya Anish Kapoor iaitu “Untrue Unreal”, menonjolkan ilusi ruang dan persepsi dengan penggunaan warna yang terhad tetapi tetap memberi kesan yang mendalam melalui saiz dan teknik.
"Selain itu, Francisco Goya, pelukis dari Sepanyol juga merupakan inspirasi terbesar saya sebagai seorang pengkarya seni
"Karya beliau bukan sahaja kuat dari segi teknik, tetapi juga sarat dengan emosi dan makna
"Goya sering memperlihatkan realiti kehidupan tanpa menutup kebenaran, contohnya melalui karya beliau “The Third of May 1808” yang sangat berkesan dari segi penyampaian emosi," jelasnya.
"Elemen mata melambangkan kehidupan dan nyawa"
Menurut Aiman, penggunaan elemen wajah gelap dan mata berganda dalam karya bukan sekadar pilihan visual, tetapi merupakan satu pendekatan simbolik yang sarat dengan makna.
Bagi beliau, mata melambangkan kehidupan dan nyawa. Tidak kira apa jua objek sama ada batu atau kerusi, ia seakan-akan hidup apabila elemen mata diterapkan.
Justeru, penggunaan mata dalam karyanya sering memberi impak emosi yang mendalam kepada penonton, malah ada yang merasakan seolah-olah lukisan tersebut sedang bertatapan dan cuba menyampaikan sesuatu mesej yang tersembunyi.

"Elemen wajah yang suram dalam lukisan saya bukanlah semata-mata untuk menimbulkan rasa seram, tetapi sebagai simbol bahawa sesebuah karya tidak semestinya sentiasa indah
"Melalui lukisan, kita juga dapat melihat sisi lain yang sering dianggap gelap, namun sebenarnya mengandungi makna tersirat serta luahan emosi yang ingin disampaikan," katanya lagi.
Apabila ditanya mengenai tempoh masa untuk menyiapkan sesebuah lukisan, beliau menjelaskan ia banyak bergantung kepada jenis dan teknik yang digunakan.

Lukisan yang hanya menggunakan warna terhad seperti hitam dan putih lazimnya dapat disiapkan dalam tempoh satu hingga tiga hari.
Namun, bagi karya yang melibatkan penggunaan warna yang lebih kompleks, tempohnya boleh mencecah sehingga dua minggu, bergantung kepada saiz dan tahap perincian.
Lebih selesa melukis dalam keadaan sunyi
Dari segi suasana berkarya, Aiman mengakui lebih selesa melukis dalam keadaan sunyi.
Tambahnya, suasana yang tenang, khususnya pada waktu tengah malam banyak membantu kestabilan emosi dan membolehkan beliau berkarya dengan lebih jujur.
Dalam masa yang sama, proses melukis turut memerlukan ketelitian serta imaginasi yang mendalam.

Difahamkan, setiap karya yang dihasilkan pula merupakan gabungan pengalaman peribadi, termasuk mimpi, realiti dan imaginasi.
“Bagi saya, melukis dalam suasana yang tenang membantu saya untuk lebih jujur dalam berkarya. Ini kerana proses melukis memerlukan ketelitian serta imaginasi yang mendalam," katanya.

Apabila ditanya sama ada setiap karya yang dihasilkan datang daripada pengalaman peribadi, beliau memberitahu kebanyakan karyanya merupakan gabungan pelbagai elemen seperti pengalaman hidup, mimpi, realiti serta imaginasi.
"Setiap karya saya merupakan gabungan daripada pengalaman peribadi, termasuk mimpi, realiti dan imaginasi
"Bagi saya, apabila ketiga-tiga elemen ini digabungkan, ia mampu memberikan impak emosi yang mendalam kepada sesiapa yang melihat karya saya," jelasnya lagi.
Tanggapan ramai yang mengaitkan karya dengan kemurungan
Tidak semua lukisan yang dihasilkan oleh Aiman mempunyai mesej yang jelas.
Terdapat juga karya yang sengaja dibiarkan terbuka untuk ditafsir oleh penonton. Baginya, sesebuah lukisan hanya memperoleh makna sebenar apabila ia ditafsir melalui dan pemikiran yang berbeza.

Mengulas tentang tanggapan segelintir pihak yang mengaitkan karyanya dengan kemurungan, beliau berpendapat salah tafsir adalah perkara biasa dalam dunia seni.
Menurutnya, karya yang dilihat dari satu sudut mungkin tampak gelap dan suram, namun tafsiran yang lebih mendalam boleh membuka makna yang berbeza.

Bahkan, ada juga yang merasakan ketenangan atau kegembiraan apabila melihat lukisannya.
“Tetapi semuanya kembali kepada niat pelukis itu sendiri. Kita tidak boleh membuat andaian yang terlalu jauh sehingga mengaitkan seseorang artis itu dengan depresi atau dianggap gila,” jelas Aiman kepada SK lagi.
Lukisan paling mahal pernah dijual bernilai berbelas ribu ringgit
Dari segi permintaan, beliau menyatakan lukisan potret dan pemandangan lebih mendapat sambutan kerana nilai sentimentalnya yang tinggi.
Karya sebegini sering berkait rapat dengan kenangan peribadi seperti potret keluarga, haiwan peliharaan atau gambar lama ibu bapa.

Walau bagaimanapun, karya berunsur seram yang dihasilkannya juga mempunyai peminat tersendiri, bahkan ada pelanggan yang meminta elemen tersebut ditonjolkan dengan lebih kuat kerana menganggapnya sebagai satu bentuk estetika seni.
Antara pencapaian yang membanggakan, lukisan paling mahal yang pernah dijual bernilai RM15,000.
Karya tersebut merupakan potret keluarga bersaiz tujuh kaki yang mengambil masa hampir dua bulan untuk disiapkan, berikutan tahap ketelitian tinggi serta teknik lapisan warna yang perlu dihasilkan dengan cermat bagi mengelakkan warna menjadi kusam.

Sebagai nasihat kepada mereka yang ingin menjadikan seni sebagai terapi diri, beliau menekankan seni merupakan medium yang sangat baik untuk tujuan tersebut.
"Namun, jika seseorang ingin menceburi bidang seni sebagai terapi, mereka perlu memulakannya tanpa tekanan serta tidak terlalu memikirkan kesempurnaan hasil
"Sebaliknya, fokus harus diberikan kepada proses berkarya kerana proses itu sendiri merupakan terapi yang dicari
"Hasil akhir daripada lukisan pula menjadi penutup kepada pengalaman terapi tersebut," katanya.
Sekiranya anda berminat untuk mendapatkan potret keluarga atau memiliki salah satu karya potret misteri Aiman, anda boleh menghubungi beliau melalui Instagram @miman_zamri.


