
Kejadian Ribut Di Persiaran Taman Meru, Lebih 40 Rumah Dilaporkan Rosak
Lebih 40 buah rumah dilaporkan telah rosak dalam satu kejadian ribut yang berlaku di Persiaran Taman Meru 26, Taman Meru 2C, Ipoh pada Isnin.
Insiden ribut yang luar biasa itu dilaporkan berlaku sekitar jam 4 petang dan melibatkan puluhan rumah penduduk.
Antara kawasan perumahan yang terjejas dalam insiden terbabit adalah rumah-rumah di Persiaran Taman Meru 22, 24,26 dan 30.
Salah seorang penduduk, Siti Syahadah Mohamad Fauzi menyifatkan kejadian ribut yang berlaku adalah antara yang terburuh pernah dialami sejak sedekad lalu.
Wanita yang berusia 29 tahun memberitahu, terdapat bumbung rumah penduduk yang diterbangkan angin sehingga sejauh 30 meter.
“Saya menggeletar apabila terdengar bunyi letupan kuat dan terlihat percikan api pada tiang elektrik rumah berhampiran seperti dipanah petir.
“Angin kuat berlaku sekejap kira-kira lima minit sahaja namun, siling rumah kami runtuh manakala bahagian dalam rumah basah terkena hujan,” jelasnya.
Tambah ibu kepada enam anak itu, mangsa-mangsa kejadian ribut itu mengharapkan sebuah penempatan sementara dapat disediakan.
Hal ini susulan, keadaan cuaca yang masih hujan selain berdepan dengan risiko seperti berlakunya runtuhan siling pada tempat kediaman mereka.
Selain itu, Zalina Mohd Zin (33) mengatakan perasaan terkejut apabila bumbung di bahagian dapur rumahnya hilang keseluruhannya.
“Kami tujuh sekeluarga berada di Kuala Kangsar melawat ibu terkejut diberitahu jiran keadaan rumah paling teruk dilanda ribut.
“Ini bukanlah kejadian pertama sepanjang tiga tahun tinggal di sini tetapi kali ini tidak sangka rumah jadi terang dengan barang kelengkapan rosak melibatkan kerugian sekitar RM10,000,” ujarnya kepada Sinar Harian.
PPS telah dibuka buat mangsa-mangsa ribut di kawasan terlibat
Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kinta memaklumkan, sebuah pusat penempatan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Majlis Bandaraya Ipoh di Taman Meru telah dibuka sekitar jam 8 malam tadi.
“PPS dibuka selepas mendapati keadaan rumah mangsa ketika ini belum selamat dan memerlukan tempat perlindungan sementara melibatkan penduduk Taman Meru 2B dan 2C,” jelasnya.
Terdahulu, beberapa video dan gambar telah tular di media sosial Facebook memaparkan kejadian ribut di Taman Meru 2C.
Rakaman tersebut menunjukkan tahap keseriusan bencana sehingga menerbangkan bumbung dan sengkuap beberapa rumah di kawasan terbabit.
Sumber: Sinar Harian
The post Kejadian Ribut Di Persiaran Taman Meru, Lebih 40 Rumah Dilaporkan Rosak appeared first on Siakap Keli.


