Kejar polis sambil pegang senjata, lelaki didenda RM9,100

LocalPolitics
14 Apr 2026 • 5:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kejar polis sambil pegang senjata, lelaki didenda RM9,100
Seorang lelaki yang tular mengejar anggota polis dan memegang senjata di sebuah restoran minggu lalu, didenda RM9,100 oleh Mahkamah Majistret Telok Datok pada Selasa.

KUALA LANGAT – Seorang lelaki yang tular mengejar anggota polis dan memegang senjata di sebuah restoran minggu lalu, didenda RM9,100 oleh Mahkamah Majistret Telok Datok di sini pada Selasa.

P Mahendran, 31, yang bekerja sebagai pemandu lori dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan yang dibaca dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret, Maslinda Selamat.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama 22 bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, dia yang memakai baju lokap ungu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan pinggan-mangkuk, meja makan dan peralatan di dalam kedai dengan niat menyebabkan kerugian dan kerosakan kepada pemiliknya, Tiew Siew Ban.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas mangsa sama dan dituduh di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan, atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan ketiga, dia didakwa melakukan perbuatan khianat dengan mencalarkan kereta polis jenis Honda Civic menggunakan kayu rotan sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM3,700.

Dia dituduh bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan keempat pula, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas anggota polis, Koperal Mohamad Fazlan Azir dengan niat menghalang atau menakutkannya dari menjalankan tugas.

Jika sabit kesalahan mengikut bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan, dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kedai itu, di Jalan Pandan 2, Telok Mengkuang di sini antara jam 3.15 hingga 3.30 petang 8 April lalu.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Syafiq Yazid mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan kesan kerosakan dialami semua mangsa.

Bagaimanapun, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhd Muqri Mohd Khairi merayu anak guamnya dikenakan denda yang ringan kerana ini merupakan Mahendran tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kejadian berlaku kerana timbul kekeliruan dan selisih faham mengenai pembayaran makanan.

“Tertuduh juga sudah insaf atas perbuatannya dan berjanji tidak akan bertindak melulu selepas ini," katanya.

Ahad lalu, Sinar Harian melaporkan, pihak polis menerima maklumat seorang lelaki mengamuk di sebuah restoran.

Suspek yang bersenjatakan pisau pemotong daging dan rotan telah memecahkan pelbagai barangan di restoran terbabit termasuk tiga kenderaan orang awam.

Suspek bagaimanapun berjaya diberkas polis di lokasi kejadian.