Tinggal Bayi Di Masjid Skudai, 2 Suspek Ditahan

LocalFamily & Parenting
14 Apr 2026 • 6:41 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Tinggal Bayi Di Masjid Skudai, 2 Suspek Ditahan

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung penemuan seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di kawasan parkir sebuah masjid di Taman Universiti, Skudai, Johor Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, kedua-dua suspek warga tempatan berusia 18 dan 19 tahun itu ditahan kira-kira jam 2.15 pagi tadi oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah daerah di sekitar Taman Universiti.

“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas mereka didapati negatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kedua-dua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini bagi permohonan reman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana meninggalkan atau menyembunyikan bayi dengan niat untuk mengabaikannya, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, media melaporkan seorang bayi perempuan ditemui masih hidup dalam keadaan berbalut tuala dan masih bertali pusat di kawasan parkir masjid berkenaan.

Radin Ramlan berkata, pihak polis menerima laporan pada jam 7.33 malam daripada seorang saksi yang terdengar tangisan bayi sebelum mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan dan pemerhatian.

“Bayi berkenaan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya. - Getaran, 14 April 2026

View Original Article