Kejar populariti sebar maklumat palsu kes Zara Qairina jejas siasatan polis - KPN

LocalPolitics
22 Aug 2025 • 3:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Khalid

KUALA LUMPUR - Tindakan segelintir pihak yang mengejar populariti dengan menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung sesuatu isu di media sosial termasuk berkaitan kes kematian Zara Qairina Mahathir, boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya berusaha melaksanakan yang terbaik bagi memastikan undang-undang ditegakkan.

“Saya khuatir pada ketika ini, tindakan segelintir rakyat yang sentiasa inginkan populariti dengan mengeluarkan perkara atau menularkan isu melalui video di laman sosial seperti TikTok dan sebagainya.

“Ini sekali gus memberikan gambaran yang tidak betul mengenai kes yang sedang berjalan seperti kes (kematian) Zara ini,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Jumaat.

Mohd Khalid berkata, tugas pasukan penguat kuasa adalah menjalankan siasatan secara menyeluruh dan menyerahkan kepada pihak mahkamah untuk menentukan kesalahan mengikut undang-undang.

“Saya berharap masyarakat dapat menerima tindakan yang sudah dibuat oleh pihak polis dalam memastikan ketelusan siasatan dan integriti pegawai PDRM dalam melaksanakan penugasan mengikut lunas undang-undang ditetapkan.

“Kita telah mendakwa lima pelajar sekolah berkenaan di Kota Kinabalu, Sabah. Perkara ini kita serahkan kepada pihak mahkamah," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang sentiasa prihatin dan menyalurkan maklumat berkaitan perkara mencurigakan untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.

Pada Rabu, lima remaja perempuan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina bulan lalu.

Kes itu disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus, pada prosiding yang dijalankan secara tertutup.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut mengeluarkan perintah larangan bagi menghalang sebarang maklumat dalam prosiding berkenaan didedahkan kepada umum.

 

 

Lagi artikel berkaitan: