Ketua Polis Negara jamin ambil tindakan terhadap pegawai jika berlaku pelanggaran SOP kes Zara Qairina

22/08/2025 - 14:57
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 22 Ogos – Polis memberi jaminan akan mengambil tindakan tatatertib terhadap anggota polis yang mula-mula menyiasat kematian Zara Qairina Mahathir sekiranya didapati mereka melanggar prosedur.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan telah pun dimulakan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman serta satu pasukan khas yang ditubuhkan khusus untuk kes itu.
“Siasatan dibuat secara menyeluruh mengikut undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP).
“Jika benar berlakunya pelanggaran peraturan, tindakan boleh diambil terhadap pegawai penyiasat tersebut,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan terdapat pelanggaran SOP dalam kematian Zara Qairina apabila pegawai penyiasat gagal memohon bedah siasat pada peringkat awal.
Susulan itu, JIPS Bukit Aman telah mengambil keterangan Ketua Polis Daerah (KPD) berpangkat Superintenden, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) berpangkat Asisten Superintenden dan pegawai penyiasat berpangkat Inspektor.
Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata, tindakan akan diambil berdasarkan undang-undang setelah siasatan lengkap itu selesai.
“Sekiranya ada kesilapan dalam pematuhan prosedur, kita akan kaji dari sudut tatatertib. Kita akan membuat perkara yang sepatutnya terhadap pegawai akibat pelanggaran prosedur yang berlaku,” katanya.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah pada pagi 16 Julai. - DagangNews.com
standard


