
LANDSKAP industri hiburan tanah air hari ini diakui sudah jauh berubah berbanding era terdahulu apabila terlampau banyak pihak yang mengutamakan elemen tular (hype) semata-mata untuk meraih perhatian umum.
Masakan tidak, zaman kini lebih mengutamakan jumlah tontonan berbanding penguasaan ilmu atau asas pengacaraan yang kukuh.
Lebih tular seseorang itu, lebih besar pengaruh yang mampu ditarik ke dalam platform mereka.
Menurut pengacara Aidid Marcello, dunia penyiaran moden tidak lagi terikat dengan garis panduan ketat di mana kualiti kerja seseorang dinilai panel juri profesional seperti dahulu.
Meskipun industri didominasi trend memburu perhatian semata-mata, Aidid tetap memuji beberapa figura seni yang kekal relevan dengan cara tersendiri tanpa mengorbankan integriti.
“Dunia hiburan sekarang sudah berbeza kerana zaman mengejar tular dan hype. Kalau mahu meletup dan mendapat perhatian, seseorang itu kena lain.
“Kita ambil contoh Kak Lina Pom Pom. Dia sebaya saya, datang dari zaman saya jadi wartawan dan dia bermula sebagai penyanyi, bukan pengacara.
“Tetapi secara perlahan-lahan, bakat pengacaraannya menyerlah. Dia tahu apa yang penonton mahu, tetapi dalam masa yang sama dia tetap menjaga adab sebagai hos,” katanya.
Selain itu, Aidid turut menyuarakan pandangan peribadi terhadap pempengaruh, Leona, yang dilihat memiliki keunikan tersendiri apabila tampil autentik tanpa melakonkan watak tiruan demi memancing perhatian netizen.
“Secara peribadi, saya suka karakter Leona. Ketepikan soal isu pakaiannya, tetapi secara dasarnya dia hanya menjadi diri sendiri.
“Karakter dia lurus dan perangainya, cantik saja tetapi berbeza dengan orang lain yang mencari benda untuk dikecam.
“Dia membawa gaya hidupnya seadanya, malah di atas pentas pun dia tetap menjadi dirinya sendiri,” ujarnya.
Nama penyanyi, Alif Satar, turut diangkat sebagai simbol integriti seni yang utuh sejak mula menapak dalam industri hingga ke hari ini di tengah-tengah gelombang persaingan generasi muda generasi Z.
“Begitu juga dengan Alif Satar, yang saya kenali sejak zaman dia mengambil alih rancangan Remaja.
“Sampai sekarang, walaupun industri dikelilingi gelagat Gen Z, dia tetap mengekalkan jati dirinya.
“Alif adalah contoh pengacara yang sangat menjaga nilai dan prinsip diri,” jelasnya.
Tambahnya, hos atau selebriti yang konsisten mengekalkan kualiti kerja serta nilai moral yang tinggi sebenarnya mempunyai nilai pasaran jangka panjang yang jauh lebih kukuh.
“Hos yang mengekalkan kualiti sebegini mempunyai nilai pasaran yang sangat tinggi kerana mereka tidak perlu menjatuhkan maruah atau harga diri sendiri semata-mata untuk naik.
“Dunia sekarang tidak ada sesiapa yang bertindak sebagai juri untuk menilai atau menghukum kualiti kerja mereka.
“Tiada siapa yang peduli tentang asas penyiaran. Asalkan kandungan itu meletup, wajah mereka cantik menawan dan boleh menjual barang, pihak pengurusan atau bos akan terus terima,” katanya.
The post Kejar tular hingga lupakan asas penyiaran appeared first on Kosmo Online.


