
PETALING JAYA – Kejayaan ekonomi negara perlu diterjemahkan kepada pekerjaan yang lebih baik, gaji lebih tinggi dan laluan kerjaya yang bermakna untuk golongan muda.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, suara generasi muda perlu menjadi sebahagian daripada perbincangan mengenai hala tuju ekonomi Malaysia.
Katanya, dalam berdepan ketidaktentuan geopolitik dan perubahan teknologi, Malaysia perlu lebih strategik dalam membangunkan industri serta menarik pelaburan berkualiti.
“Dalam sektor semikonduktor, kita perlu memperkukuh keupayaan dalam reka bentuk cip dan aktiviti bernilai tinggi.
“Begitu juga dengan pusat data, manfaatnya perlu diperluas melalui pembangunan syarikat tempatan dalam bidang perisian, kecerdasan buatan (AI) dan perkhidmatan digital,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurut beliau, nilai pelaburan juga mesti diukur melalui pemindahan teknologi, peluang perniagaan tempatan dan pekerjaan berkemahiran tinggi yang diwujudkan.
Johari berkata, Malaysia akan terus terbuka kepada pelaburan dan persaingan yang adil, sambil memastikan industri tempatan semakin kukuh.
“Kepada anak muda, teruskan membina kemahiran, berani menyesuaikan diri dan rebut peluang dalam industri masa hadapan.
“Aspirasi kita ialah melahirkan rakyat Malaysia yang bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi turut mencipta teknologi, membangunkan perniagaan dan menjana nilai untuk negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Kejayaan ekonomi mesti beri manfaat kepada anak muda appeared first on Kosmo Online.






