Syasya berjaya ubah hobi jadi kerjaya

BeautyLifestyle
2 Oct 2026 • 11:16 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Syasya berjaya ubah hobi jadi kerjaya

TIDAK semua hobi kekal sekadar aktiviti mengisi masa lapang.

Bagi Syasya Aina Rizal, minat yang bermula dengan sekadar menyolek wajah rakan-rakan ketika di universiti, akhirnya menjadi titik tolak kepada pembinaan kerjaya profesional dalam industri kecantikan.

Hari ini, graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Perhubungan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu bukan sahaja bergelar pegawai perhubungan awam, malah dikenali sebagai jurusolek, pendidik solekan dan pencipta kandungan digital dalam dunia kecantikan.

Ketika masih bergelar pelajar UiTM, wanita berusia 26 tahun itu aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum termasuk memegang jawatan sebagai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Di sebalik jadual akademik dan komitmen kepimpinan yang padat, dia tetap meluangkan masa untuk menyolek rakan-rakan bagi pelbagai majlis dan program universiti.

“Saya memang suka makeup orang, terutama selepas nampak perubahan keyakinan diri mereka apabila disolek.

“Dari situ, saya mula serius untuk belajar memperbaiki teknik dengan belajar perkara yang betul,” katanya kepada K-Wanita.

Hobi itu akhirnya berkembang menjadi perkhidmatan solekan secara sambilan.

Tidak lama kemudian, nama wanita yang mesra disapa Syasya itu semakin dikenali dalam kalangan pelajar dan komuniti di sekitarnya.

Menurutnya, pengalaman berinteraksi dengan pelbagai individu sepanjang bergiat aktif di kampus turut membentuk kemahiran komunikasi yang menjadi aset penting apabila berhadapan dengan pelanggan.

Melihat potensi yang ada, Syasya mula ‘melaburkan’ masa untuk mendalami dunia kecantikan dengan mengikuti seminar, latihan profesional dan kelas bersama pakar industri.

Image from: Syasya berjaya ubah hobi jadi kerjaya
Syasya giat berkongsi tip kecantikan dan solekan menerusi kelas serta seminar.

Peluang menyertai seminar bersama Wardah Beauty menjadi antara pengalaman yang membuka perspektif baharu Syasya terhadap industri kecantikan.

“Melalui seminar ini, saya dapat belajar teknik terkini, selain memahami keperluan pelanggan dengan lebih mendalam.

“Ia sangat membantu saya untuk berkembang,” ujarnya yang berasal dari Kajang.

Kesungguhan itu membuka peluang buatnya menyertai jenama tersebut sebagai Eksekutif Perhubungan Awam yang menggabungkan dua bidang iaitu komunikasi dan kecantikan.

Hampir dua tahun berkhidmat, Syasya kini bertanggungjawab menguruskan pelancaran produk, strategi perhubungan awam, hubungan bersama media, pempengaruh, pencipta kandungan serta pelaksanaan pelbagai kempen pemasaran.

Menurut Syasya, latar belakang dalam bidang perhubungan awam banyak membantu perjalanan kerjayanya.

Kemahiran komunikasi, pengurusan krisis, pembinaan jenama dan hubungan dengan media yang dipelajari di universiti ternyata sangat relevan dalam industri kecantikan.

Gabungan ilmu komunikasi dengan kemahiran solekan membolehkannya memahami aspek teknikal kecantikan, bagaimana sesuatu jenama dibina dan dipasarkan kepada pengguna.

Selain kerjaya sepenuh masa, dia turut mengembangkan pengaruhnya sebagai pencipta kandungan digital dalam bidang kecantikan, fesyen dan gaya hidup.

Dia turut menjana pendapatan melalui ulasan berbayar, kolaborasi bersama jenama, kandungan User Generated Content (UGC) serta TikTok Affiliate.

Tidak terhenti di situ, Syasya juga aktif berkongsi ilmu melalui kelas solekan yang telah menghimpunkan lebih 200 pelajar sehingga kini.

Pengalaman sebagai jurusolek yang telah menyolek ratusan pelanggan turut membuka peluang kepadanya untuk menjadi penceramah di UiTM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam ceramah tersebut, dia berkongsi mengenai personal branding, grooming, content creation dan pembangunan kerjaya dalam industri kecantikan.

Dia juga pernah mengendalikan demonstrasi solekan menerusi program Youth Grooming: Brain with Beauty di UKM.

Akui Syasya, media sosial bukan sekadar platform hiburan, sebaliknya ruang yang mampu membuka peluang kerjaya sekiranya dimanfaatkan dengan betul.

“Hobi boleh berkembang menjadi kerjaya apabila disertai ilmu, konsistensi dan keberanian untuk mencuba.

“Jangan takut untuk bermula, walaupun dalam perkara kecil,” katanya.

Dalam pada itu, dia menggalakkan golongan wanita dan anak muda supaya membina lebih daripada satu sumber pendapatan dengan memanfaatkan kemahiran dimiliki.

The post Syasya berjaya ubah hobi jadi kerjaya appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved