
JOHOR BAHRU, 13 Ogos – Kejayaan Johor Motorsports Racing (JMR) mencipta sejarah di pentas perlumbaan endurance dunia menjadi antara tumpuan utama dalam program Motorsports Talk 2.0 2026 bersama Mahasiswa yang berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru hari ini.
Program yang berlangsung di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah itu menampilkan YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor, yang berkongsi pengalaman serta perjalanan JMR dalam membina nama di arena antarabangsa.
Perkongsian itu hadir selepas pencapaian bersejarah JMR sebagai pasukan Malaysia pertama yang menawan podium di perlumbaan berprestij CrowdStrike 24 Hours of Spa di Belgium, menyemarakkan rasa bangga kerana telah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Kejayaan di Spa menjadi kemuncak kepada kempen antarabangsa JMR tahun ini, selepas pasukan itu turut mencipta sejarah menerusi penampilan sulung dalam 24 Hours of Le Mans, dengan menamatkan perlumbaan di tempat ke-14 dalam kelas LMGT3.
Dalam sesi Motorsports Talk 2.0 2026, kejayaan tersebut turut diketengahkan bukan sekadar dari sudut keputusan perlumbaan, tetapi sebagai gambaran sebenar mengenai cabaran yang perlu dilalui untuk bersaing di pentas motorsport bertaraf dunia.
Para mahasiswa diberi gambaran mengenai bagaimana prestasi di litar bergantung kepada gabungan disiplin, strategi, kerja berpasukan, ketahanan mental, teknologi serta keupayaan membuat keputusan dalam situasi bertekanan tinggi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan QSR Brands, Nehchal Khanna, berkata kejayaan JMR, khususnya kemenangan di Belgium, amat membanggakan negara dan selari dengan prinsip QSR Brands dalam menyokong agenda nation building serta pembangunan generasi muda yang tangkas, berdaya saing dan mampu bersaing di persada antarabangsa.
Menurut beliau, pencapaian JMR turut membuktikan bahawa anak-anak Malaysia mempunyai keupayaan untuk mencapai kecemerlangan di peringkat global apabila diberikan ruang, sokongan dan peluang yang sewajarnya.
Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim berkata sukan permotoran merupakan satu ekosistem multidisiplin yang menggabungkan teknologi, data, strategi, kejuruteraan, pengurusan, komunikasi dan perniagaan.
Perjalanan JMR di pentas antarabangsa juga dilihat mampu menjadi contoh kepada mahasiswa bahawa industri motorsport menawarkan peluang kerjaya yang jauh lebih luas daripada sekadar menjadi pelumba.
Antara bidang yang boleh diterokai termasuk data, kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan, pengurusan, pemasaran, komunikasi, psikologi, keselamatan dan pembangunan bakat.
Kerjasama antara UTM, JMR dan QSR Brands turut dilihat sebagai platform untuk menghubungkan pengalaman dunia sebenar dalam sukan permotoran berprestasi tinggi dengan ilmu serta bakat yang dibangunkan di universiti.
Dengan kejayaan bersejarah di Le Mans dan Spa pada tahun ini, kisah JMR menjadi antara contoh paling dekat kepada mahasiswa mengenai bagaimana pasukan dari Malaysia mampu berdiri di pentas motorsport antarabangsa dan bersaing dengan pasukan terbaik dunia.


















The post Kejayaan JMR di Spa Diraikan Dalam Motorsports Talk 2.0 2026 Bersama Mahasiswa appeared first on TW Media.
