Kejayaan peroleh kontrak loji solar di Sabah, TA Securities ramal tempahan tertunggak Gadang cecah RM903.5 juta

LocalBusiness & Finance
2 Oct 2025 • 11:17 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kejayaan peroleh kontrak loji solar di Sabah, TA Securities ramal tempahan tertunggak Gadang cecah RM903.5 juta

image is not available

02/10/2025 - 11:17

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Okt - Tempahan tertunggak Gadang Holdings Berhad diramal meningkat kepada kira-kira RM903.5 juta selepas Gadang Engineering (M) Sdn Bhd bersama rakan kongsi JS Solar Sdn Bhd, berjaya memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM52 juta.

TA Securities berkata, kontrak tersebut, dianugerahkan Tenaga Aspirasi Sdn Bhd, melibatkan pembangunan Loji Janakuasa Solar Fotovoltaik Skala Besar (LSSPV) berkapasiti 15MWac di Tawau, Sabah, dengan tempoh siap dalam masa 14 bulan menjelang suku keempat tahun kewangan 2026.

Dengan mengambil kira kadar penggunaan sebanyak RM80 juta pada suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26), firma penyelidikan menganggarkan jumlah pesanan tertunggak Gadang kini berada pada paras RM903.5 juta.

Katanya, jumlah itu bersamaan 2.8 kali unjuran hasil pembinaan bagi tahun kewangan 2026, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan yang sihat.

"Setakat tahun semasa, jumlah penambahan pesanan tertunggak Gadang telah mencecah RM144.5 juta atau 48.2% daripada unjuran penuh tahun sebanyak RM300 juta.

"Kami menjangkakan syarikat kekal berada di landasan yang betul untuk mencapai baki sasaran itu pada suku-suku mendatang, disokong oleh saluran tender kukuh bernilai kira-kira RM3 bilion yang merangkumi projek infrastruktur, kerja berkaitan rel dan pusat data," katanya dalam satu nota kajian.

TA Securities berkata, kontrak EPCC itu menandakan kemenangan pertama Konsortium Gadang–JS Solar dalam sektor LSSPV, sekaligus membuka ruang strategik untuk menembusi pasaran tenaga boleh diperbaharui di Sabah.

Walaupun prospek pesanan kekal kukuh, firma penyelidikan itu mengekalkan pandangan berhati-hati terhadap margin keuntungan Gadang yang dijangka terus tertekan akibat persaingan sengit dalam sektor pembinaan dan campuran projek yang condong kepada kerja infrastruktur bermargin rendah.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "jual" dengan harga sasaran 22 sen sesaham.- DagangNews.com

standard