Sektor pembinaan dijangka kekal momentum pertumbuhan pada 2025, kontrak domestik berpotensi cecah RM50 bilion – HLIB

02/10/2025 - 12:27
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 2 Okt - Sektor pembinaan negara dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan sehingga akhir tahun 2025, dengan nilai kontrak domestik berada pada landasan untuk mencecah RM50 bilion, menurut Hong Leong Investment Bank.
Firma penyelidikan itu berkata, trend itu didorong projek pusat data, infrastruktur sektor awam dan kerja-kerja tenaga boleh diperbaharui (RE).
Dalam tempoh sembilan bulan 2025, sektor itu berjaya memperoleh projek bernilai RM39.7 bilion – meningkat 24% tahun ke tahun, dan merupakan jumlah tertinggi bagi tempoh sembilan bulan sejak 2016.
Pencapaian itu meletakkan sektor pembinaan di landasan untuk mengatasi jumlah tahun lepas sebanyak RM44.2 bilion, sekali gus mengukuhkan kitaran peningkatan pesanan kerja semasa.
“Walaupun sebelum ini kami menjangkakan aliran kontrak mampu menyamai paras tertinggi tahun 2016 sebanyak RM56.4 bilion, kelewatan dalam penganugerahan pakej mekanikal, elektrikal dan paip bagi beberapa projek pusat data dijangka hanya akan direalisasikan pada 2026.
“Walaupun terdapat kelemahan berturutan dalam projek komersial dan kediaman, yang pada pandangan kami terjejas akibat mesej bercampur mengenai pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dalam projek bercampur, angka tersebut masih sejajar dengan kadar purata suku tahunan antara RM2.5 bilion hingga RM3.5 bilion,” katanya dalam satu nota kajian.
Antara kontrak utama yang dimeterai pada suku ketiga termasuk projek Gamuda Berhad bernilai RM2.14 bilion untuk membina dua blok pusat data di Puncak Alam, kontrak IJM Corp Bhd bernilai RM1.4 bilion bagi pusat data skala besar enam tingkat di Johor, serta kontrak usaha sama Gamuda-NAIM bernilai RM1.13 bilion untuk projek reka dan bina Lebuhraya Pantai Utara Sarawak.
HLIB menjangkakan aliran kontrak kekal kukuh pada suku akhir tahun, dipacu oleh penganugerahan pusat data berskala besar, projek jalan baharu di Malaysia Timur, kontrak kejuruteraan tenaga boleh diperbaharui (RE) dan pakej sistem berpotensi untuk LRT Pulau Pinang.
Anugerah Seksyen D Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang tertangguh lama juga berkemungkinan dimuktamadkan menjelang akhir tahun, manakala projek air yang ditender baru-baru ini lebih berkemungkinan direalisasikan hanya pada 2026.
HLIB mengekalkan saranan "overweight" terhadap sektor pembinaan, dengan alasan prospek projek yang jelas dan penilaian yang menarik.
Pilihan utama firma itu ialah Gamuda dengan harga sasaran RM6.88, disokong barisan projek domestik yang mempunyai kepastian tinggi, strategi pusat data yang berbeza, serta pengukuhan kedudukan dalam projek RE di Australia. - DagangNews.com
standard


