Kejohanan Dunia: Empat pemain negara mara pusingan kedua

11 May 2025 • 12:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sivasangari antara empat pemain skuasy negara mara ke pusingan kedua Kejohanan Dunia 2024-2025 di Chicago, Amerika Syarikat, semalam.

EMPAT pemain skuasy negara, termasuk S Sivasangari mara ke pusingan kedua Kejohanan Dunia 2024-2025 di Chicago, Amerika Syarikat, semalam.

Bagi kategori wanita, Sivasangari yang berada ranking ke-9 dunia memulakan kempen kejohanan dunia yang berlangsung di University Club of Chicago dengan kemenangan ke atas pemain nombor 52 dunia dari Sepanyol, Marta Dominguez, 11-4, 11-5, 16-18, 11-2.

Pemain pilihan ketujuh kejohanan itu akan berdepan cabaran seterusnya, Sana Ibrahim dari Mesir, yang menewaskan jaguh Finland, Emilia Soini dengan 11-8, 11-5, 11-5.

Pemain nombor 19 dunia, Rachel Arnold turut menempah tempat ke pusingan seterusnya selepas meneruskan rentak kemenangan tiga perlawanan berturut-turut ke atas Nour Heikal dari Mesir, 11-9, 11-9, 4-11, 11-3.

Cabaran getir menunggu Rachel di pusingan kedua apabila terpaksa berdepan pilihan utama yang juga nombor empat dunia, Olivia Weaver, yang meleburkan harapan peminat skuasy Malaysia dengan menewaskan Aifa Azman, 11-3, 11-2, 11-1.

Juara baharu Terbuka Bermuda 2025, Aira Azman turut mara ke pusingan kedua setelah menundukkan Torrie Malik dari England, 11-8, 10-12, 11-7, 11-8.

Menduduki rangking ke-26 dunia, Aira akan berdepan dengan Salma Hany dari Mesir, yang menewaskan rakan senegara, Menna Hamed, 11-9, 8-11, 11-9, 11-3.

Sementara itu, wakil tuan rumah, Amanda Sobhy, membuktikan dia terlalu kuat buat Noor Ainaa Amani Ampandi apabila menang mudah 11-3, 11-2, 11-3.

Bagi kategori lelaki pula, pemain nombor 10 dunia, Ng Eain Yow menepati jangkaan apabila menyingkirkan Patrick Rooney dari England, 11-8, 11-5, 11-6.

Eain Yow yang merupakan pilihan ke-10 kejohanan, akan menghadapi lawan dari Pakistan, Muhammad Asim Khan di pusingan kedua selepas Asim menang dalam perlawanan sengit lima set menentang pemain Perancis, Auguste Dussourd, 11-9, 7-11, 12-10, 7-11, 11-2. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved