SHAH ALAM, 24 FEB: Kerajaan Negeri berhasrat memperluas penganjuran kejohanan e-sukan, Selangor Future Cup ke seluruh daerah tahun depan.
EXCO Belia dan Sukan Mohd Najwan Halimi berkata inisiatif itu bertujuan mengembangkan lagi pembangunan e-sukan di peringkat sekolah sekali gus mencungkil bakat baharu.

“Sambutan terhadap kejohanan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) yang berlangsung selama dua hari di sini dilihat begitu meriah walaupun kali pertama dianjurkan.
“Insya-Allah, kita cadang untuk perluaskan lagi dengan menarik lebih banyak penyertaan di peringkat sekolah di sembilan daerah” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Kejohanan e-sukan Selangor Future Cup MLBB di pusat beli-belah AEON di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohd Najwan menyarankan ibu bapa memberi peluang kepada anak mereka yang cendurang terhadap e-sukan.
“Sebelum ini masyarakat agak skeptikal dengan sukan ini tetapi saya sarankan ibu bapa sekiranya anak mereka ada minat terhadap e-sukan cuba bagi peluang.
“Insya-Allah, kalau baik kita membentuk anak ini beri sokongan, didik dan pantau mereka, saya yakin anak ini boleh pergi lebih jauh dan berjaya,” katanya.

Semalam, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kemuning merangkul juara sulung kejohanan e-sukan Selangor Future Cup 2025, selepas menewaskan SMK Saujana Utama, Kuala Selangor.
Pertandingan MLBB kali pertama dianjurkan Kerajaan Negeri itu membabitkan penyertaan 64 sekolah berlangsung dua hari sejak Sabtu lalu di pusat beli-belah AEON Shah Alam.
Julung kali dianjurkan, pertandingan MLBB yang disertai 64 sekolah berlangsung dua hari sejak Sabtu lalu di pusat beli-belah AEON Shah Alam.
The post Kejohanan e-sukan peringkat sekolah bakal diperluas ke sembilan daerah appeared first on Selangorkini.


