KUALA LUMPUR – Piala Maxim & Siri Maxim Elit musim 2026 dijangka menghimpunkan 18,000 peserta seluruh dunia, yang bakal mewakili 1,500 pasukan.
Kejohanan anjuran Maxim Events dengan kerjasama Subway Malaysia itu bakal diadakan di lima lokasi seluruh negara.
Mengambil tempat di Pulau Pinang, Langkawi, Melaka dan Johor selain di ibu negara, ia adalah acara yang dirangka khusus untuk menampilkan peserta lelaki dan perempuan dari kategori usia Bawah 6 hingga Bawah 20.

Pengarah Maxim Events, Will Kucia berkata, pihaknya amat berbesar hati dan teruja untuk meneruskan kejohanan berkenaan, dengan Subway sebagai penaja utama.
“Tahun lalu, melalui perkongsian ini, kami meningkatkan penyertaan dalam kejohanan melalui pasukan yang ditaja, menyediakan makanan sihat kepada peserta dan kakitangan, serta meningkatkan kualiti kejohanan dengan memasang pagar logam di sekitar padang.
“Kami menantikan 2026 untuk melancarkan kejohanan baharu di Melaka sambil terus mengembangkan acara sedia ada,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Subway Malaysia, Kon Kin Siong pula berkata, kerjasama berkenaan menyaksikan jenama terkemuka antarabangsa itu berpeluang memainkan peranan aktif dalam mengembangkan bola sepak belia di Malaysia.

Menyediakan sokongan untuk pasukan terpilih dalam bentuk tajaan yuran dan kit pasukan, kerjasama itu jelas beliau lagi, membantu menjadikan bola sepak kompetitif lebih mudah diakses oleh pemain muda dari semua latar belakang.
“Sokongan ini mencerminkan komitmen Subway untuk menggalakkan gaya hidup aktif, memupuk semangat komuniti, dan memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk mengejar cita-cita sukan mereka.
“Sebagai jenama yang dibina berdasarkan bahan-bahan segar dan semangat komuniti, kami berbangga untuk bekerjasama dengan Maxim Events bagi memberi inspirasi kepada generasi atlet seterusnya,” katanya.
Kin Siong memberitahu, penyediaan makanan dan kit pasukan itu diyakini berupaya membantu pemain beraksi pada tahap terbaik, sekali gus mengukuhkan komitmen Subway terhadap gaya hidup sihat dan aktif.

Kejohanan Piala Maxim & Siri Maxim Elit bakal diadakan mengikut tarikh berikut:
Maxim Cup KL - 2 & 3 Mei
Maxim Cup Pulau Pinang - 11 & 12 Julai
Maxim Cup Langkawi - 17, 18 & 19 Julai
Maxim Cup Melaka - 25 & 26 Julai
Maxim Elite Johor - 7, 8 & 9 Ogos, 30, 31 & 1 November
Maxim Elite Girls - 27, 28 & 29 November
Maxim Elite Boys - 4, 5 & 6 Disember.
Orang ramai khususnya peminat bola sepak atau pemain yang ingin mendaftar untuk kejohanan akan datang boleh melayari www.maximevents.com untuk maklumat lanjut. - Getaran, 12 Februari 2026


