‘Kekal atau keluar BN’ MIC bincang hala tuju parti hari ini

LocalPolitics
16 Nov 2025 • 1:19 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran meminta ahli-ahli parti berkenaan supaya berbincang dan membuat keputusan mengenai masa depan dan hala tuju parti itu dalam Barisan Nasional (BN) pada Perhimpunan Agung Tahunan yang berlangsung hari ini.

Vigneswaran berkata parti itu perlu memutuskan sama ada mahu keluar atau kekal bersama BN.

Memetik Sinar Harian, Vigneswaran memberitahu, MIC perlu membuat keputusan penting itu kerana perlu berdepan dengan realiti bahawa ia tidak lagi dihormati dalam BN, sama ada sebagai parti 'adik-beradik' ataupun rakan kongsi sebenar.

Beliau juga berkata jika MIC ingin bangkit bermaruah, parti tersebut perlu memperbaharui perjuangan bermula daripada golongan belia.

“Mengapa yang lain telah meninggalkan BN, tetapi kita masih bersama mereka dan dalam hati kita, bolehkah MIC benar-benar berjaya membawa BN hari ini mencerminkan perikatan yang asal?

“Bukan perikatan pada nama, tetapi perikatan berdasarkan tujuan, kepercayaan dan kerjasama tulen yang membina negara ini.

“Jika ini ketentuan takdir, maka kita bukan melarikan diri daripada sejarah, sebaliknya kembali kepada sejarah. Cerita MIC hari ini bukan penamat, tapi permulaan,” katanya ketika berucap di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam hari ini.

Sebelum ini, Vigneswaran mengakui bahawa MIC ada melakukan perbincangan dengan Perikatan Nasional (PN) selain sedang meneliti usul yang dicadangkan akar umbinya termasuk Kedah dan Pulau Pinang untuk keluar dari BN.

Beliau juga ketika itu memberitahu, keputusan sama ada parti itu kekal dengan BN atau sebaliknya, akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Agung MIC pada 16 November.

Oktober lalu, bekas Ahli Majlis Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa MIC memutuskan untuk keluar daripada BN pada bulan ini.

Menerusi hantaran video di akaun TikTok miliknya, Tajuddin mendakwa perkara itu diakui sendiri oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan ketika sambutan perayaan Deepavali di kediamannya.

Sementara Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mengulas mengenai ura-ura MIC akan meninggalkan gabungan berkenaan berkata, BN bersikap terbuka dan tidak menghalang sekiranya MIC mahu berbuat demikian.

Jelasnya, pendekatan itu selepas mengambil kira tiada paksaan terhadap parti komponen menyertai atau keluar daripada gabungan itu. - 16 November, 2025

The post ‘Kekal atau keluar BN’ MIC bincang hala tuju parti hari ini appeared first on Scoop.