'Kekalkan kemasukan IPTA wajib guna SPM tidak kira pelajar UEC atau tahfiz' - Dr Akmal Saleh

LocalPolitics
15 May 2026 • 5:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Kekalkan kemasukan IPTA wajib guna SPM tidak kira pelajar UEC atau tahfiz' - Dr Akmal Saleh
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh

SHAH ALAM - Kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu kekal berasaskan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa pengecualian kepada mana-mana aliran pendidikan termasuk lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan institusi tahfiz.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, semua pelajar wajib mengambil SPM sebagai syarat utama kemasukan ke IPTA.

"Kekalkan kemasukkan ke IPTA dengan menggunakan SPM sahaja! Tidak kira pelajar UEC ataupun tahfiz. Nak masuk IPTA wajib SPM.

"Dan saya percaya ramai sahaja pelajar lepasan UEC dan tahfiz yang ambil SPM seperti biasa sebelum ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Beliau turut mengingatkan bahawa tiada keperluan untuk membuka lebih banyak ruang kelonggaran atau mengubah sesuka hati sistem pendidikan negara bagi memastikan standard kemasukan ke IPTA kekal adil.

"Tidak perlu kita buka lebih banyak 'flood gate'.

"Dasar Pendidikan Negara perlu kita ikuti bukan ditebuk sana sini," tegasnya.

Media pada Khamis melaporkan, calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.

Bagi calon lepasan SMPC/UEC, antara program dikenal pasti ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.