Kekecohan Di Kg Sg Baru: Polis sahkan 7 Suspek Ditahan Termasuk Ketua Pertubuhan

LocalPolitics
13 Sep 2025 • 12:30 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Kekecohan yang berlaku di Kampung Sungai Baru, kelmarin, membawa kepada penahanan 7 suspek oleh polis selepas disyaki mencetuskan provokasi serta mencederakan pegawai kanan polis.

image is not available

7 suspek ditahan termasuk ketua pertubuhan tersebut

Memetik laporan daripada Berita Harian, mereka dipercayai ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk seorang yang merupakan ketua pertubuhan itu sendiri.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata pihaknya masih mengenal pasti motif semua suspek terbabit.

“Saya sahkan kita menahan ketua kepada sebuah pertubuhan serta ahlinya selepas disyaki terbabit dalam insiden kekecohan dan melakukan provokasi semasa proses pengosongan kediaman dilakukan.

Kes masih dalam siasatan untuk kita tahu bagaimana mereka terlibat, ada konflik kepentingan atau tidak atau kemungkinan mempunyai agenda lain.
Pada masa ini, kita tidak dapat mengesahkan sama ada pertubuhan ini mempunyai kaitan dengan elemen samseng atau jenayah kekerasan sehingga siasatan selesai,” katanya pada sidang media.

image is not available

7 suspek ditahan bagi bantu siasatan halang tugas penjawat awam

Dalam pada masa yang sama, beliau turut menambah bahawa mereka turut disiasat dalam kes menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman.

“Ada antara mereka yang ditahan turut didapati mempunyai rekod kesalahan seperti terlibat dalam rusuhan. Kita sedang siasat semua perkara berdasarkan keterangan dan soal siasat terhadap suspek yang ditahan ini,” katanya.

image is not available

Terdahulu, menerusi kejadian sekitar jam 11 pagi kelmarin, Sulizmie cedera di bahagian kepala ketika mengawal proses pengosongan kediaman di Kampung Sungai Baru susulan kekecohan akibat rempuhan sekumpulan individu yang cuba masuk ke kawasan operasi.

Sumber: Berita Harian (Safeek Affendy Razali)