Kekuatan pasaran tentukan masa depan JS-SEZ, kata CEO CME

21/07/2025 - 10:00
KUALA LUMPUR 21 Julai - Kejayaan jangka panjang Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) bergantung kepada sejauh mana ia memenuhi permintaan pasaran sebenar dan menyokong inovasi keusahawanan, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Centre for Market Education, Dr Carmelo Ferlito.
Katanya, walaupun insentif cukai dan perancangan strategik memainkan peranan, namun pembangunan ekonomi mampan hanya boleh dicapai melalui faktor-faktor struktur yang lebih kukuh.
“Insentif yang ditawarkan adalah ke arah yang betul,” kata Ferlito, merujuk kepada kadar cukai korporat 5% dan kadar cukai pendapatan peribadi 15% untuk pekerja berpengetahuan di bawah JS-SEZ. “Namun akhirnya, struktur ekonomi itu sendiri perlu kukuh," katanya, lapor The Sun.
Dibangunkan secara bersama oleh Malaysia dan Singapura, JS-SEZ itu bertujuan menarik pelaburan bernilai tinggi dan mewujudkan antara 20,000 hingga 100,000 pekerjaan berkemahiran dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.
Bagaimanapun, Ferlito berkata, penciptaan pekerjaan sebenar mesti datang daripada eksperimen keusahawanan, bukannya unjuran kerajaan.
“Bukan soal asas bakat, kerana Malaysia sudah pun memiliki bakat yang mencukupi. Isunya ialah keperluan pasaran.
“Pekerjaan yang mampan wujud sebagai tindak balas kepada isyarat pasaran, bukan melalui perancangan. Apa yang dikehendaki pasaran tidak boleh diramal," katanya.
Dari segi fiskal, walaupun JS-SEZ menawarkan pemotongan cukai yang agresif untuk menarik pelaburan, Ferlito memberi amaran seupaya tidak wujud perkara menyimpang daripada keselarasan cukai nasional.
“Sistem cukai perlu ringkas dan adil untuk berkesan. Zon ekonomi khas tidak boleh berfungsi secara terasing. Untuk kelestarian jangka panjang, persekitaran cukai yang lebih luas mesti kekal konsisten di seluruh negara," katanya.
Ferlito berkata, usaha menaikkan gaji secara tidak semula jadi melalui subsidi atau campur tangan, dengan memberi penekanan pertumbuhan pendapatan sebenar mesti datang daripada produktiviti dan persaingan.
Merujuk kepada inisiatif terdahulu seperti Iskandar Malaysia dan Segitiga Pertumbuhan Sijori, Ferlito berkata, JS-SEZ kelihatan lebih tersusun, namun kejayaan tetap bergantung kepada persekitaran perniagaan yang lebih luas.
“Ia memang kelihatan lebih baik dari segi reka bentuk dan lebih tersusun secara organik, tetapi seperti yang saya nyatakan, sebuah SEZ perlu disokong oleh kemudahan menjalankan perniagaan di seluruh negara," katanya. - DagangNews.com
standard



