Prospek Kossan diyakini positif didorong strategi perniagaan lebih dinamik, kata HLIB

21/07/2025 - 12:31
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 21 Julai - Prospek Kossan Rubber Industries Bhd diyakini positif diorong strategi perniagaan yang lebih dinamik bagi mendepani industri yang mencabar, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Katanya, keyakinan itu juga disokong oleh kedudukan kewangan yang kukuh.
"Kami mengekalkan saranan "neutral" dengan harga sasaran (TP) RM2.30 kepada Kossan manakala penarafan "pegang" ke atas Hartalega Holdings Berhad dengan TP RM1.48 dan sasaran "jual" dengan TP 60 sen sesaham ke atas Top Glove," katanya dalam satu nota kajian.
HLIB berkata kebimbangan terhadap ketidakseimbangan penawaran dan permintaan dalam sektor sarung tangan kekal tinggi, didorong pengembangan agresif rakan pesaing dari China, Vietnam dan Indonesia.
“Kelebihan kos Intco Medical dari China, yang dipacu oleh automasi dan kos input yang lebih rendah, terus menyokong strategi penetapan harga agresif mereka.
“Aliran penghantaran dari China melalui Thailand, Vietnam dan Indonesia juga menjejaskan eksport Malaysia dan melambatkan pemulihan volum di pasaran AS,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, harga saham pengeluar sarung tangan telah merosot antara 47% hingga 59% pada separuh pertama 2025 dipengaruhi pencapaian pendapatan yang mengecewakan dan sentimen pelabur yang lemah.
“Hartalega dan Kossan gagal memenuhi jangkaan suku tahunan dan konsensus pada Februari, manakala Top Glove turut mencatatkan keputusan yang lemah pada Mac.
“Keyakinan pelabur semakin terjejas susulan satu lagi pusingan laporan pendapatan yang mengecewakan daripada Hartalega, disertai panduan unjuran industri yang lebih pesimis.
“Kami percaya permintaan AS yang lembap yang dihadapi pengeluar Malaysia mungkin turut berkait rapat dengan aktiviti penghantaran oleh pesaing dari China,” kata firma itu.
Sementara itu, HLIB menjangkakan purata harga jualan (ASP) kekal lemah disebabkan harga bahan mentah dan persaingan serantau yang sengit, memandangkan ASP telah memuncak pada Disember 2024.
Bagi bekalan global, HLIB mengunjurkan tambahan kapasiti antara lima hingga lapan bilion keping setahun dari Vietnam dan 500 juta dari Indonesia menjelang akhir 2025.
“Kami menganggarkan Intco akan menambah kira-kira 10 bilion keping setahun kapasiti pengeluaran sarung tangan daripada operasinya di China sahaja pada tahun 2025,” katanya. - DagangNews.com
standard


