SHAH ALAM – Usaha konservasi hutan negara berdepan cabaran besar apabila masih terdapat jurang pembiayaan melebihi RM1.4 bilion bagi memastikan inisiatif pemuliharaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup berkata, keperluan kewangan yang tinggi menjadi antara kekangan utama dalam menjayakan agenda kelestarian alam sekitar khususnya membabitkan konservasi hutan.
Bagi menangani isu itu beliau berkata, kementerian memperkenalkan Sijil Konservasi Hutan (FCC) bagi meningkatkan keyakinan syarikat dan korporat untuk menyalurkan dana.
"Melalui sistem ini, kita menetapkan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) tertentu supaya syarikat yang melabur mempunyai jaminan dana disalurkan digunakan untuk tujuan yang sepatutnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Program Pendanaan Konservasi Hutan di sini pada Isnin.
Arthur berkata, kerajaan turut menawarkan potongan cukai sebanyak 10 peratus kepada syarikat yang menyumbang kepada usaha konservasi sebagai galakan tambahan.
Katanya, setakat ini pihaknya menyasarkan mobilisasi dana sebanyak RM30.2 juta dengan 29 permohonan diterima daripada pelbagai syarikat di seluruh negara dan sembilan projek telah diluluskan.
"Projek yang dilaksanakan melibatkan pelbagai aspek termasuk persempadanan kawasan hutan, penanaman semula serta pemeliharaan sungai dan alam sekitar," jelas beliau.
Menurutnya, projek itu dilaksanakan di beberapa negeri termasuk Sabah, Sarawak, Pahang dan Selangor.
Dalam pada itu beliau berkata, penyertaan bukan sahaja tertumpu kepada syarikat besar, malah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga digalakkan untuk bersama menyumbang kepada usaha konservasi.
"Kita masih memerlukan dana yang besar, jadi lebih banyak penyertaan daripada sektor korporat amat dialu-alukan bagi membantu mengurangkan jurang pembiayaan ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pembangunan instrumen 'Forest Carbon Offset' dijangka bermula seawal suku kedua tahun ini, tertakluk kepada pembentangan rang undang-undang berkaitan bagi mewujudkan rangka kerja pasaran karbon negara.
Sementara itu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dalam titahnya memaklumkan, FCC diiktiraf sebagai platform dipercayai negara dalam memperkukuh usaha pemuliharaan hutan serta menarik pembiayaan hijau sekali gus memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara.
Baginda bertitah, pengiktirafan itu membuktikan peranan FCC sebagai instrumen nasional penting dalam melindungi dan melabur ke atas khazanah hutan negara.
Menurut baginda, usaha pemuliharaan tidak boleh dilihat sebagai penghalang pembangunan, sebaliknya menjadi tunjang kepada kestabilan, kekuatan dan kemakmuran jangka panjang.
"Di Selangor, kita percaya hutan bukan bertentangan dengan kemajuan, malah menjadi enjin kepada kelangsungan kehidupan termasuk menstabilkan iklim, melindungi sumber air serta menjadi benteng menghadapi perubahan cuaca ekstrem,” titah baginda.
Baginda bertitah, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh tadbir urus hutan, memulihkan kawasan terjejas serta memastikan komuniti setempat termasuk Orang Asli terus memainkan peranan sebagai penjaga alam.
Dalam masa sama, baginda menzahirkan kebanggaan terhadap penglibatan generasi muda melalui Komuniti Belia Selangor yang bersama-sama komuniti tempatan dalam usaha memelihara hutan dan sumber air.
Mengulas lanjut, Tengku Amir Shah bertitah, Dana Hutan Malaysia (MFF) menjadi pemangkin penting dalam memperkasa usaha itu melalui pendekatan dua mekanisme membabitkan pembiayaan karbon dan modal semula jadi.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja menyelaras usaha di peringkat negeri dan nasional, malah memastikan hasil pemuliharaan dapat diukur termasuk dari aspek biodiversiti, pengawalan air serta manfaat kepada komuniti.
"Melalui FCC, syarikat korporat mempunyai laluan jelas dan telus untuk melabur dalam landskap hutan keutamaan, sekali gus beralih daripada sumbangan amal kepada pelaburan strategik berasaskan sains," titah baginda.



