KUANTAN – Kekurangan pegawai perubatan di beberapa fasiliti kesihatan di Pahang berpunca daripada beberapa faktor termasuk perpindahan tugas, pelantikan tetap di fasiliti lain, peletakan jawatan dan latihan kepakaran.
Perkara itu dijelaskan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dalam satu kenyataan susulan aduan yang tular di media sosial berhubung dakwaan tersebut.
Berdasarkan kenyataan JKNP, seramai 850 pegawai perubatan sedang berkhidmat di fasiliti kesihatan di bawah seliaannya setakat 1 Jun ini.
"Bagi memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat tidak terjejas, JKNP telah melaksanakan beberapa langkah segera termasuk pengoptimuman sumber manusia sedia ada, mobilisasi Pegawai Perubatan daripada fasiliti kesihatan awam dan hospital lain menerusi inisiatif hospital kluster.
"Malah kita turut melaksanakan penyusunan semula penempatan Pegawai Perubatan berdasarkan keperluan perkhidmatan dan beban kerja semasa," katanya pada Rabu.
Dalam masa yang sama, JKNP sentiasa berusaha memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kesihatan di semua fasiliti melalui pemantauan berterusan serta kerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Jekas kenyataan itu, ini bagi memastikan keperluan sumber manusia kesihatan dapat ditangani secara berperingkat dan menyeluruh.
"JKNP kekal komited dalam memastikan kebajikan warga kerja kesihatan terus diberi perhatian di samping menjamin perkhidmatan kesihatan kepada rakyat sentiasa disampaikan secara berkualiti, selamat, cekap dan berkesan," katanya.
Habis#





