
PETALING JAYA: Selepas kurang sembilan bulan beroperasi semula di bawah pengurusan Green Care Services Sdn. Bhd. (Green Care Services), Kelab Golf Kinrara kini dalam fasa perubahan menerusi peningkatan kualiti padang, penganjuran kejohanan dan pelaksanaan beberapa program pembangunan golf remaja.
Perkembangan positif itu disokong oleh statistik kehadiran pemain yang mencatatkan purata lebih 5,500 pusingan permainan setiap bulan sejak pengurusan baharu mengambil alih pada September lalu.

Pengarah Urusan Green Care Services, Francis Chan berkata, pihak pengurusan amat gembira dengan sambutan menggalakkan yang diterima daripada komuniti pemain golf sejak padang berkenaan dibuka semula.
“Kami amat teruja dengan maklum balas yang diterima daripada para pemain golf sejak kelab ini dibuka semula dan sangat menggalakkan apabila melihat ramai daripada mereka kembali ke Kinrara.
“Bagaimanapun, kami tidak akan berhenti di sini. Masih banyak kerja yang perlu dilakukan dalam memulihkan kawasan ‘botak’, menambah baik tee box dan terus meningkatkan kualiti keseluruhan padang,” katanya.

Selain menguruskan Kelab Golf Kinrara, dengan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki pihak pengurusan Green Care Services juga turut menguruskan beberapa padang golf lain termasuk Bukit Unggul Golf & Country Club, Bukit Beruntung Golf & Country Club, Nexus Golf Resort Karambunai di Sabah dan Kelab Rekreasi Angkatan Tentera di Seremban.
Kelab golf yang diasaskan menerusi wawasan Allahyarham Tun Ahmad Sarji itu menerima penambahbaikan secara menyeluruh merangkumi pemulihan fairway, penstrukturan semula bunker, peningkatan kawasan tee box serta permukaan green yang lebih konsisten.

Sementara itu, Pengurus Kelab Golf Kinrara, Johan Rosli berkata, bermula September tahun lalu, beliau bersama tenaga kerja kelab tersebut telah berusaha keras melakukan banyak perubahan positif.
Katanya, perubahan tersebut termasuklah memperbaiki keadaan keseluruhan padang terutamanya tee box dan green, penambahbaikan kemudahan sehingga menjadi lebih baik.
“Dahulu, semua orang tahu bagaimana padang golf Kinrara ini. Tetapi sekarang keadaannya jauh lebih baik dengan penyelenggaraan yang lebih konsisten sehingga ia menarik minat penganjur-penganjur untuk mengadakan kejohanan golf di sini.
“Selain itu, kita juga turut mengadakan promosi pada harga yang berpatutan bagi membolehkan lebih ramai pemain golf amatur beraksi di sini dan merasai sendiri perubahan yang berlaku di Kelab Golf Kinrara,” katanya ketika ditemui di kelab golf tersebut, baru-baru ini.

Selain memfokuskan pemulihan padang, pihak pengurusan turut melancarkan Program Pembangunan Golf Remaja pada Mei lalu yang dikendalikan oleh profesional PGA, Rashid Ismail bersama jurulatih Ravi, Nur Heikal dan Azlan dengan penyertaan seramai 24 orang pemain muda setakat ini.
Sementara itu, Kelab Golf Kinrara juga turut mencipta kelainan apabila menjadi kelab golf pertama di Malaysia yang memperkenalkan ‘Forward Tees’ untuk mereka yang mula berjinak-jinak dengan sukan golf dan remaja menerusi kerjasama dengan arkitek padang golf, Jason Winter.

Sejak penambahbaikan padang dilakukan, kelab golf ini dipilih menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Akhir Kebangsaan SportExcel pada Oktober depan selepas menganjurkan Kejohanan Elit SportExcel pada Jun lalu, selain pusingan kelayakan MSSM Kuala Lumpur dan Selangor serta Kejohanan 100Plus Zon Tengah.
Di samping menjadi lokasi kejohanan korporat seperti Kejohanan ASEAN Bridgestone, Kelab Golf Kinrara kini bersiap sedia untuk menganjurkan Kejohanan Terbuka Merdeka Kinrara sulung pada 5 dan 6 September depan yang menawarkan hadiah Hole-in-One (HIO) berupa sebuah kereta. – UTUSAN
The post Kelab Golf Kinrara alami fasa perubahan appeared first on Utusan Malaysia.
