Kelab Kucing Malaysia Gesa Siasatan Terperinci Kes Penganiayaan Kucing Di UM

23 Dec 2024 • 10:06 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Kelab Kucing Malaysia (KKM) menggesa pihak berkuasa melaksanakan siasatan terperinci kes kematian misteri beberapa ekor kucing di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

Memetik laporan Harian Metro, Presidennya, Khalid Rashid berkata, ia kerana kesan pada kucing malang tersebut agar mencurigakan kerana terdapat kesan dipotong di bahagian tertentu pada badan haiwan itu berbanding diserang anjing liar yang kebiasaanya hanya perut akan terburai.

Siasatan Terperinci Kes Beberapa Kucing UM

image is not available

Foto: Harian Metro

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Brit Malaysia dan Lembaga Kebajikan Haiwan di Subang, pada Ahad.

“Kita juga tidak pasti apa puncanya dan dikatakan ia kerana (serangan) anjing tetapi pada pandangan saya yang sudah banyak menyelamatkan kucing, (kecederaan kucing berkenaan) tidak kena pula kalau dikatakan dimakan atau didera (diserang) anjing liar.

“Cara matinya lain jadi saya berharap pihak berkuasa boleh bantu menjalankan siasatan dengan lebih terperinci dan telus dalam kes ini. Kalau anjing buat (serang), selalunya anjing akan menerkam leher atau perutnya (kucing) terburai dan jarang nak makan habis tetapi kaki (kucing dalam kejadian itu) macam dipotong,” katanya.

image is not available

Foto: Kosmo! Online

Tambahnya lagi, beliau berharap kejadian itu dapat disiasat semula dengan lebih terperinci dengan turut membabitkan pihak atau individu yang mempunyai kepakaran dalam perkara berkenaan.

Terdahulu, seekor kucing dinamakan ‘Lily’ ditemui mati dalam keadaan menyayat hati apabila keempat-empat kakinya seperti dipotong dan mempunyai luka besar pada badan di universiti itu.

Media turut melaporkan dua ekor kucing lagi ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM.

Polis mendapati kematian kucing terbabit dipercayai akibat serangan anjing liar.

image is not available

Foto: Instagram @hopeforstraysss

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, pihaknya menerima tiga laporan berhubung kejadian itu pada Isnin, Jumaat dan Sabtu lalu.

Menurut Rusdi, tiada saksi yang melihat kejadian namun hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan universiti berkenaan mendapati, terdapat sekumpulan anjing liar bertindak menyerang kucing terbabit.