Kelahiran dua bayi merdeka disambut meriah keluarga, pihak hospital

LocalFamily & Parenting
31 Aug 2026 • 6:59 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kelahiran dua bayi merdeka disambut meriah keluarga, pihak hospital

JOHOR BAHRU: Hospital Pakar Bandar Dato’ Onn, di sini meriah apabila sambutan Hari Kebangsaan ke-69 hari ini turut dirai dengan kelahiran dua bayi merdeka.

Kelahiran secara normal kedua-dua bayi lelaki itu diraikan bukan sahaja oleh ahli keluarga khususnya ibu bapa mereka, tetapi juga petugas di hospital berkenaan.

Ibu kepada salah seorang bayi berkenaan, Aimi Shahirah Mazli, 32, berkata, dia dan suami, Irshad Harris Haris Fadzilah, 32, bersyukur kerana cahaya mata ketiga mereka dilahirkan dalam keadaan sihat dan proses kelahiran berjalan lancar.

Aimi yang juga seorang doktor berkata, sambutan Hari Kebangsaan memang sentiasa dekat di hati keluarganya, tetapi tidak menjangka anak mereka akan dilahirkan pada tarikh bersejarah itu.

“Biarlah anak ini membesar sebagai individu yang mempunyai semangat patriotik dan menjadi insan yang suatu hari nanti mampu berbakti kepada negara.

“Secara tidak langsung, tarikh kelahiran anak saya akan disambut oleh jutaan rakyat Malaysia di seluruh dunia setiap tahun,” katanya sambil memberitahu anaknya itu dilahirkan dengan berat 3.1 kilogram.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Bandar Dato’ Onn, Nor Arfah Arshad berkata, sambutan kelahiran bayi merdeka itu menjadi detik istimewa bukan sahaja kepada keluarga, malah kepada warga hospital.

“Kelahiran setiap bayi adalah satu amanah dan permulaan kepada sebuah kehidupan baharu. Apabila ia berlaku bersempena Hari Kebangsaan, pastinya detik ini menjadi lebih bermakna.

“Kami berbangga dapat menjadi sebahagian daripada ‘moment’ istimewa ini dan mendoakan kedua-dua bayi serta keluarga mereka sentiasa diberikan kesihatan, kebahagiaan dan kesejahteraan,” katanya.

Beliau berkata, pihak hospital sentiasa komited memastikan ibu dan bayi menerima penjagaan terbaik sepanjang proses kelahiran, termasuk aspek keselamatan, keselesaan dan pemantauan kesihatan.

Sejak mula beroperasi pada 2019, Hospital Pakar Bandar Dato’ Onn telah merekodkan seramai 3,561 kelahiran bayi, sekali gus mencerminkan kepercayaan ibu bapa terhadap perkhidmatan penjagaan ibu dan anak yang disediakan.-UTUSAN

The post Kelahiran dua bayi merdeka disambut meriah keluarga, pihak hospital appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved