Kelak anda boleh melakukan pembayaran secara nitrunai menggunakan DuitNow di lebih 100 juta kedai dan perniagaan di seluruh dunia yang menyokong AliPay+. Ciri ini diaktifkan selepas Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan Ant International mengembangkan kerjasama menerusi memorandum persefahaman yang ditandatangani hari ini dengan ia disaksikan oleh Gabenor Bank Negara, Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour.

Kerjasama antara kedua-dua syarikat memberikan tumpuan kepada empat bidang utama iaitu memacu pelancongan melalui pembayaran digital rentas sempadan, mengukuhkan pertahanan daripada penipuan, pembangunan bakat, dan memajukan kemampanan. MoU yang baru ditandatangani adalah peristiwa penting dalam membolehkan penerimaan pembayaran menggunakan DuitNow di seluruh dunia.
Pelancong Malaysia di luar negara kelak boleh melakukan pembayaran menerusi imbasan DuitNow dalam aplikasi dompet digital pilihan dan juga aplikasi perbankan peribadi. Sebelum ini DuitNow telahpun disokong di negara jiran Singapura, Indonesia, Thailand dan Kemboja.



