DuitNow QR kini boleh digunakan di seluruh dunia hasil kerjasama PayNet dan Ant International

21/08/2025 - 14:15
Paynet meterai MoU dengan Ant International untuk perluas capaian DuitNow QR Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 21 Ogos – Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) memperluaskan kerjasamanya dengan Ant International melalui memorandum persefahaman (MoU) baharu untuk memperkasakan sektor pelancongan melalui pembayaran digital rentas sempadan.
Kerjasama itu juga dapat melindungi rakyat Malaysia dari ancaman penipuan ketika melakukan pelbagai transaksi semasa berada di luar negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Farhan Ahmad berkata, MoU itu adalah penting untuk memperluaskan penerimaan standard QR Malaysia iaitu DuitNow QR di peringkat global melalui platform dompet digital Ant International, Alipay+.
“Pelancong Malaysia dijangka dapat menggunakan e-dompet atau aplikasi perbankan tempatan mereka di seluruh ekosistem global Alipay+ yang kini mempunyai lebih 100 juta perniagaan.
“Langkah ini meluaskan jangkauan global DuitNow QR yang membolehkan rakyat Malaysia menggunakan aplikasi pembayaran kegemaran mereka dari negara sendiri dengan mudah ketika berada di luar negara,” katanya dalam kenyataan.
Kerjasama itu bukan sahaja memacu penerimaan global pembayaran DuitNow, malah merupakan permulaan kerjasama erat kedua-dua pihak dalam mengurangkan penipuan, membangunkan bakat masa depan, serta membina ekosistem pembayaran digital global yang lebih inklusif, lestari dan berdaya tahan.
Tambahnya, ia juga memberi manfaat kepada rakyat Malaysia semasa berada di luar negara dan pelancong yang datang ke negara ini.
“Kerjasama strategik ini dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pembayaran digital yang semakin terhubung di peringkat antarabangsa, sejajar dengan aspirasi negara untuk memacu ekonomi digital dan pelancongan melalui teknologi inovatif,” katanya. - DagangNews.com
standard




