Kelak MRT, LRT dan Bas Rapid Akan Menyokong Pembayaran Kad Debit, Kredit dan Dompet Digital

LocalBusiness & Finance
22 May 2026 • 11:16 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Semalam Rapid Rail mengatakan kadar penggunaan LRT laluan Kelana Jaya sudah mencapai 109% kapasiti dipacu oleh penumpang yang ingin mengelak membayar harga minyak yang semakin meningkat. Antara isu yang kerap muncul di media sosial ialah, Rapid KL hanya menerima pembayaran menggunakan token dan kad Touch ‘N Go sahaja.

Hari ini pihak Prasarana mengesahkan bahawa sistem pembayaran terbuka untuk tren dan bas di Kuala Lumpur akan dilaksanakan. Sistem pembayaran debit sudah diuji sejak 2023 dengan pada asalnya diaktifkan bermula Mac 2024 tetapi ditangguh. Apabila sistem pembayaran terbuka ini dilaksanakan, penumpang bebas menggunakan kad kredit, kad debit, kod QR dan dompet digital seperti Apple Pay, Google Wallet an Samsung Wallet.

LRT MyDebit

Projek ini masih di peringkat proses penganugerahan kontrak dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi. Selepas dianugerahkan, pembayaran terbuka dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 30 bulan untuk perkhidmatan rel dan 15 bulan untuk bas di Lembah Klang. Pelaksanaan secara berfasa akan merangkumi perkhidmatan LRT, MRT, Monorail, BRT, Rapid KL, MRT Feeder dan Rapid Penang.

Selain memudahkan orang ramai menggunakan sebarang mod pembayaran yang paling selesa mereka gunakan, ia turut memudahkan pelancong yang melawat negara.

Sudah berlaku beberapa insiden tular pelancong luar negara terkandas atau dalam kes lebih serius diherdik kerana tidak menyedari perkhidmatan bas di Lembah Klang tidak menyokong kad debit, kredit dan dompet digital. Ini adalah perkembangan yang baik kerana sistem pembayaran terbuka sudahpun disokong di pelbagai sistem tol.

View Original Article