Antara perkara paling membosankan apabila menggunakan WhatsApp ialah menerima mesej spam dalam bentuk judi atas talian dan kegiatan tidak bermoral hampir setiap hari. Kerap kali ia datang dari nombor-nombor yang tidak dikenali. Kelak WhatsApp akan memberikan ciri menghalang mesej diterima daripada nombor yang tidak dikenali ini.

Menurut laporan WABetaInfo, ciri ini sudah mula dibangunkan tetapi masih belum boleh diuji walaupun oleh pengguna aplikasi Beta. Ia diletakkan di bawah tetapan privasi. Apabila diaktifkan, mesej akan dihalang apabila ia menghantar terlalu banyak mesej. Sebelum ini WhatsApp sekadar membenarkan panggilan suara daripada nombor tidak dikenali sahaja dihalang.
Diharap ciri ini akan dapat diaktifkan dengan segera kerana ia adalah ciri yang saya amat diinginkan oleh pengguna WhatsApp. Ia juga boleh menjadi saringan kepada mesej penipuan yang kini juga mula dihantar dalam jumlah yang banyak.




