Instagram baru-baru ini dilaporkan sedang bereksperimen dengan satu lagi ciri privasi baharu dengan ia bertujuan untuk menghalang pengguna daripada melakukan tangkapan layar pada mesej yang dihantar dengan tetapan ‘view once’. Ciri ini secara tidak langsung dapat meningkatkan privasi pengguna dengan ia dapat menghalang perkongsian mesej peribadi tanpa kebenaran.

Ciri yang sedang diteroka oleh Instagram untuk menghalang tangkapan layar pada mesej ‘view once’ ini adalah selari dengan aliran industri media sosial ke arah kawalan privasi yang dipertingkatkan. Bahkan, platform media sosial lain seperti Telegram telah lama menawarkan ciri seumpama ini. Perkara ini dikongsikan oleh Alessandro Paluzzi, seorang penyelidik media sosial menerusi laman X.
Namun, penerimaan pengguna Instagram seandainya ciri ini dilancarkan kelak mungkin akan mengundang pelbagai reaksi. Sesetengah pengguna mungkin akan menghargainya dan sebahagian lain mungkin akan merasakan ciri seperti ini menyusahkan serta menyekat kebebasan. Walaubagaimanapun, masih belum ada tarikh rasmi bilakah ia akan ditawarkan dan menarik untuk sama-sama kita nantikan ciri ini dilancarkan kepada semua pengguna nanti.

